KOTA KINABALU: Seramai 393 peserta terdiri daripada lepasan universiti dan mahasiswa telah menyertai program di bawah Professional and Education For Growing Entrepreneurs (PROTÉGÉ) di bawah pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah di bawah Sektor Lebuhraya Pan Borneo Sabah menyasarkan sebanyak 2,300 penyertaan di bawah pelaksanaan projek tersebut menjelang tahun 2028 dan menggalakkan lepasan mahasiswa terutamanya dalam bidang teknikal untuk menyertai program tersebut.
Katanya, pihak JKR Sabah telah melaksanakan program tersebut di bawah penglibatan pihak Juruperunding Pengurusan Projek, Konsultan Rekabentuk dan juga Kontraktor-kontraktor di bawah projek Lebuhraya Pan Borneo.
Ini terdiri daripada empat juruperunding dan juga 15 kontraktor pakej kerja di seluruh Sabah.
Beliau berkata, antara kekangan yang dihadapi oleh pihak pelaksana projek ialah lepasan mahasiswa yang tidak berminat untuk ditempatkan di kawasan luar bandar disebabkan oleh lokasi pejabat tapak pembinaan yang jauh di pedalaman selain daripada kekurangan lepasan jurusan teknikal daripada university tempatan.
Dalam usaha untuk terus mecapai sasaran 100 peratus di bawah pelaksanaan projek tersebut, pihak JKR Sabah dan pihak pelaksana projek telah mewujudkan seketariat utama di bawah Projek Management Konsultan bagi memastikan penglibatan program PROTEG berjalan dengan lancar.
Selain daripada itu, pihak JKR Sabah juga turut mengambil penglibatan dengan menyertai pameran kerjaya dengan agensi-agensi kerajaan seperti PERKESO.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan semasa Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1, sebanyak empat Pakej Kerja daripada lima belas (15) Pakej Kerja fasa 1 telah dibuka kepada orang awam dan pengguna jalan raya. (Sektor Lebuhraya Pan Borneo Sabah).
































