Azalina Othman Said
KOTA TINGGI: Kerajaan akan merangka pelan tindakan untuk memberikan lebih banyak perlindungan undang-undang kepada kanak-kanak warganegara dan bukan warganegara melalui simposium antarabangsa pemerkasaan suruhanjaya kanak-kanak yang akan dianjurkan selama dua hari.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan bahagian undang-undang yang akan menampilkan pakar-pakar dari luar negara.
“Kita bawa beberapa pakar dari luar negara, mereka yang wujudkan pejabat suruhanjaya kanak-kanak dan kita akan menilai cara mereka, cabaran mereka supaya kesilapan mereka kita tidak ulang. Walaupun kita sudah ada di bawah SUHAKAM tapi kita nak ada pengkhususan.
“Jadi harapan saya daripada simposium Isnin dan Selasa ini, kita dapat buat satu pelan tindakan untuk memberikan lebih banyak perlindungan dari segi undang-undang pada anak-anak negara kita.
“Tidak kisahlah anak Malaysia ataupun anak-anak bukan warganegara Malaysia. Isu lebih kepada perlindungan undang-undang. Saya tidak sentuh isu kebajikan ke, isu persekolahan tetapi lebih kepada isu kanak-kanak dan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Parlimen Pengerang di Dataran Tasik Bandar Penawar, Kota Tinggi malam tadi.
Seramai 10 pakar termasuk dari Thailand dan Filipina akan berbincang dan memberikan pandangan dalam Simposium Antarabangsa: Pemerkasanaan Suruhanjaya Kanak – Kanak: Memperkukuh Hak dan Melindungi Masa Depan yang akan berlangsung di Auditorium Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Kuala Lumpur.
Program yang julung kalinya diadakan itu anjuran bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU), UNICEF Malaysia, Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia, dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
Simposium itu juga menampilkan bekas Pengerusi Jawatankuasa PBB mengenai Hak Kanak-kanak, Dr. Mikiko Otani; bekas Pesuruhjaya Kanak-kanak Scotland, Prof Bruce Adamson dan Pesuruhjaya Kanak-kanak Kebangsaan dari Australia, Anne Hollonds.


































