Phoong bersama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew.
KOTA KINABALU: Sektor perindustrian bukan sahaja merupakan tunjang kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara atau negeri malah ianya turut menjadi antara penyumbang kepada pewujudan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyatnya.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, kemasukan pelaburan-pelaburan berimpak tinggi ke Sabah terutamanya pelaburan langsung asing oleh syarikat seperti SK Nexilis Malaysia Sdn. Bhd. dan Kumpulan Kibing sedikit-sebanyak telah memberikan manfaat kepada rakyat negeri ini melalui peluang pekerjaan yang telah diwujudkan.
“Menyedari akan kepentingan untuk membawa masuk pelaburan ke Sabah dalam usaha untuk mengurangkan kadar pengganguran, kemiskinan serta penghijarahan ke semenanjung atau ke luar negara, Kementerian saya akan terus mempergiatkan usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.
Jelasnya, komitmen Kementeriannya untuk mewujudkan peluang-peluang pekerjaan melalui pelaburan ini telah diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif yang telah dirancang oleh Kementerian seperti berikut:
i. Menjalankan aktiviti-aktiviti promosi pelaburan melalui misi pelaburan dan lawatan kerja ke luar negara bagi memperkenalkan peluang-peluang pelaburan di Sabah.
ii. Menganjurkan forum pelaburan dan persidangan bertaraf antarabangsa bagi memberi pendedahan kepada pelabur asing berhubung potensi pelaburan dalam sektor-sektor ekonomi yang telah dikenalpasti seperti ekonomi biru.
iii. Menyelaras danmemudahcara cadangan-cadanganpelaburandiSabah secara efisien dan efektif.
iv. Memperkasakan infrastruktur dan utiliti di taman-taman perindustrian agar ianya kondusif kepada pelabur.
“Selain itu, Kementerian saya juga akan terus bekerjasama dengan pihak Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) bagi pelaksanaan salah satu program di bawah program menoktahkan miskin tegar di Sabah iaitu program MySMJ Kerja: Industri bagi mengambil pekerja di kalangan Ahli Isi Rumah (AIR) untuk ditempatkan di syarikat syarikat besar yang melabur di negeri ini secara in-situ.
“Pada masa yang sama, Kementerian saya juga sentiasa menggalakkan rakyat Sabah yang sedang bekerja di Semenanjung Malaysia atau luar negara untuk kembali ke negeri ini bagi mengisi kekosongan jawatan yang ada terutamanya bagi mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu.
“Inisiatif ini diyakini akan mampu untuk mengurangkan brain drain di negeri ini.
Diharapkan agar usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Sabah ini dapat membantu untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan seterusnya mengurangkan kadar pengganguran, kemiskinan serta penghijarahan rakyat Sabah ke semenanjung atau ke luar negara,” ujarnya.
Menjawab soalan tambahan, Phoong berkata, Laporan Tinjauan Tenaga Buruh Bagi Suku Kedua 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan kadar pengangguran di Sabah menurun kepada 7.5 peratus pada suku kedua tahun lalu, berbanding 9.0 peratus pada suku kedua 2021.
Tambahnya, laporan tersebut turut menyatakan terdapat seramai 2.038 juta orang bekerja di Sabah pada suku kedua 2023, jumlah tertinggi sejak 2017.




























