Suspek dibawa keluar selepas permohonan reman diluluskan bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung kes pemalsuan dokumen di Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis hari ini.
KANGAR: Anak kepada Menteri Besar ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung kes pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.
Turut direman bagi membantu siasatan adalah pegawai kanan pejabat Menteri Besar bersama empat individu lain.
Menurut Utusan Malaysia, permohonan reman itu dikemukakan di Mahkamah Majistret Kangar pada pukul 8.45 pagi ini.
Menurut sumber, keenam-enam suspek terlibat yang berusia 26 hingga 37 tahun itu ditahan antara pukul 7 hingga 8 pagi semalam sekitar Perlis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18
Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Katanya, siasatan berkenaan dilakukan atas kesalahan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu sedangkan kerja-kerja berkenaan tidak dilaksanakan.
“Jumlah anggaran keseluruhan projek berkenaan adalah bernilai RM600,000 bermula dari tahun 2022 sehingga kini melibatkan kerja-kerja baik pulih, penyelenggaraan, pembekalan dan perkhidmatan,” katanya.
Katanya, empat daripada suspek yang ditahan itu merupakan kontraktor manakala dua lagi adalah penjawat awam di Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
Dalam pada itu, Majistret Ana Rozana Mohd Nor membenarkan permohonan reman SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Permohonan reman berkenaan dikemukakan oleh Pegawai Penyiasat SPRM Putrajaya, Chin Ching Yuen manakala keenam-enam suspek terlibat diwakili peguam, Mohd Fadhly Yaacob.
Menurut Mohd Fadhly, pihaknya sebelum ini membantah permohonan reman selama tujuh hari dikemukakan pihak penyiasat atas alasan siasatan kes itu telah melebihi 24 jam malah anak guamnya juga telah memberi kerjasama dengan sebaiknya.
Mahkamah menetapkan semua suspek direman selama dua hari bermula hari ini sehingga esok.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Putrajaya, Datuk Azmi Kamaruzaman mengesahkan penahanan berkenaan.


























