Dr .Rafiq menyampaikan cenderamata kepada Pengerusi Persatuan IPTN, Dr. Wan Sabri.
KOTA KINABALU: University College Sabah Foundation (UCSF) menerima kunjungan daripada Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Negeri (IPTN) di sini kelmarin.
Delegasi Persatuan IPTN itu diketuai oleh Pengerusi persatuan, Prof. Dato’ Dr. Wan Sabri yang juga Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah.
Rombongan Persatuan IPTN turut disertai oleh Naib Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, Prof. Dr. Mohd. Zawawi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UniSHAMS Kedah (menjalankan tugas Naib Canselor), Prof. Madya Dr. Muhammad Nasri serta Pemangku Ketua Eksekutif Kolej Al-Quran Terengganu, Prof. Madya Dr. Mahyuddin.
Persatuan IPTN dianggotai oleh institusi-institusi pendidikan tinggi milikan kerajaan negeri.
Kunjungan tersebut merupakan susulan daripada mesyuarat Persatuan IPTN yang berlangsung di di sini semalam.
Dalam kunjungan itu, pelbagai perkara telah dibincangkan oleh kedua pihak, termasuk potensi kerjasama di antara institusi pendidikan tinggi milikan kerajaan negeri dalam hal berkait kerjasama akdemik dan penyelidikan, persidangan bersama, pertukaran pelajar dan penerbitan.
Menurut Dr. Wan Sabri, ahli-ahli Persatuan IPTN harus saling berkerjasama membantu diantara ahli-ahli dan tidak bersaing sesama mereka, sebaliknya perlu berkongsi kekuatan masing-masing.
“Perkara ini boleh dimulakan dengan pertukaran pelajar (student mobility) dalam program pengajian yang mempunyai kadar persamaan yang tinggi.
“Program seumpama itu boleh membantu integrasi nasional terutamanya diantara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Banyak kebaikan yang boleh diraih menerusi program itu,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UCSF, Dr. Rafiq Idris berharap kerjasama antara kolej-kolej serta universiti-universiti milik kerajaan negeri dapat dipergiatkan lagi pada masa akan datang demi pembangunan sektor pendidikan di negara ini.
Delegasi Persatuan IPTN turut dibawa berkunjung ke Nature Inspiration Art Gallery (NIAG) UCSF.
































