Gambar bangunan condong ini dikeluarkan oleh Central News Agency (CNA) Taiwan.
TAIPEI: Daerah timur Hualien di Taiwan yang dilanda gempa bumi digegarkan oleh lebih 200 gegaran susulan lewat pada Isnin dan awal kelmarin.
Tetapi hanya kerosakan kecil dilaporkan berlaku dan tiada kemalangan jiwa.
Menurut Utusan Malaysia, pembuat cip utama, Taiwan Semiconductor Manufacturing Co. (TSMC) berkata, pihaknya tidak melihat kesan berlaku ke atas operasi mereka.
Hualien yang sebahagian besarnya di luar bandar dan kurang penduduk dilanda gempa bumi berukuran 7.2 magnitud pada 3 April lalu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 17 orang, dan terdapat lebih 1,000 gegaran susulan sejak itu.
Bangunan merentasi sebahagian besar utara, timur dan barat Taiwan, termasuk di ibu negara, Taipei, bergoyang sepanjang malam dengan gempa terbesar berukuran 6.3 magnitud.
Penduduk Taipei yang merupakan penyelidik perubatan, Aden Peng, 44, pada pukul 2 pagi, ia bergegar dengan sangat kuat.
Malah, dia terfikir untuk bergegas turun ke tingkat bawah, tetapi memandangkan tinggal di tingkat enam, dia berasa agak menyusahkan untuk turun.
“Kemudian sekali lagi, mengikut pengalaman saya sebelum ini, saya fikir ia sepatutnya baik-baik saja dan berharap ia akan baik-baik saja. Dan kerana saya sangat letih, saya terus tidur, mengharapkan yang terbaik,” katanya.
Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan berkata, kejadian gempa bumi bermula petang Isnin lalu yang dikatakan lebih 200 gegaran.
Ini adalah gegaran susulan daripada gempa besar pada 3 April lalu.
Pengarah Pusat Seismologi Taiwan, Wu Chien-fu memberitahu pemberita bahawa gempa susulan itu adalah pembebasan tenaga tertumpu dan lebih banyak lagi boleh dijangka, walaupun mungkin tidak sekuat itu.
Dengan hujan lebat diramalkan berlaku di seluruh Taiwan minggu ini, penduduk di Hualien perlu bersedia untuk gangguan selanjutnya, tambahnya.
Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen menulis di halaman Facebooknya, menyeru orang ramai untuk mengelak daripada kawasan gunung dan sentiasa berjaga-jaga.
“Apabila gempa bumi berlaku, jangan panik,” tulisnya.
Jabatan bomba Hualien berkata, dua bangunan yang sudah tidak berpenghuni selepas rosak pada 3 April lalu mengalami kerosakan selanjutnya dan condong.
Di daerah pergunungan Hualien, beberapa penutupan jalan dilakukan berikutan kejadian batu runtuh dilaporkan dan kerajaan menggantung kerja dan sekolah pada hari tersebut.
Taiwan terletak berhampiran persimpangan dua plat tektonik dan terdedah kepada gempa bumi.
Lebih 100 orang terbunuh dalam gempa bumi di selatan Taiwan pada 2016, manakala gempa 7.3 magnitud membunuh lebih 2,000 orang pada 1999.


























