Rina Jainal
KOTA KINABALU: Pembinaan signboard Sabah Maju Jaya (SMJ) seperti jangan menanam pokok bunga tanam sayur sahaja kerana tidak boleh dimakan, kata ADUN Kukusan, Rina Jainal.
“Walhal kita memerlukan sesuatu tanda atau mercu sebagai ingatan kepada usaha Kerajaan untuk mengangkat hala tuju SMJ kepada kesatuan dan kebersamaan rakyat Sabah.
“Gagasan SMJ bukanlah sekadar impian namun mampu menjadi kenyataan,” katanya, sambil berharap setiap tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri akan memberi manfaat yang besar kepada semua lapisan masyarakat, tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang.
Beliau juga menghargai komitmen Kerajaan Negeri untuk memperjuangkan keadilan, kesaksamaan dan kemakmuran untuk rakyat Sabah.
“Saya berharap agar setiap dasar dan inisiatif yang dilaksanakan akan memperkuat perpaduan di kalangan masyarakat serta membawa kemajuan yang berkekalan bagi negeri Sabah yang kita cintai.
“Kerjasama antara Kerajaan dan rakyat perlu terus diperkukuhkan untuk menikmati kejayaan kita bersama,” katanya ketika membahas ucapan dasar kerajaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Masalah pengurusan dokumentasi miskin tegar
Terdahulu, Rina berharap Kerajaan dapat menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengenal pasti masalah pengurusan dokumentasi dihadapi oleh rakyat yang tergolong dalam kepompong miskin tegar.
Beliau berkata, melalui lawatan kerja di akar umbi beliau mendapati kebanyakan mereka yang berada dalam kepompong miskin tegar ini mempunyai masalah pengurusan dokumentasi yang tidak teratur.
“Ibu bapa mempunyai kad pengenalan sah, namun anak-anak hanya mempunyai sijil beranak lebih parah sebarang dokumen juga tiada.
“Oleh itu, saya amat berharap jawatankuasa kecil dapat dilaksanakan dalam merungkaikan masalah dokumentasi ini dengan melibatkan beberapa agensi kerajaan seperti JHEAINS dan Mahkamah Anak Negeri dalam mengenalpasti mereka yg mempunyai masalah tersebut,” katanya.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri kerana membawa inisiatif Pemeriksaan Kesihatan Percuma kepada rakyat Sabah.
“Ia salah satu langkah yang mampu membantu mereka yang terbelenggu dalam kemiskinan namun pada masa yg sama perlu memonitor kesihatan demi survival dalam membesarkan keluarga masing-masing. Program ini telah saya laksanakan sejak bersama dengan blok kerajaan dua tahun lalu dengan menggunakan peruntukan ADUN sendiri.”
Isu “serahan milik” kawasan residensi/komersial
Rina juga meminta Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan mengambil langkah proaktif bagi menyelesaikan isu “serahan milik” kawasan residensi atau komersial.
“Di Sabah, pengurusan harta tanah ini melibatkan pemindahan tanggungjawab pengurusan dari pemaju kepada pihak berkuasa tempatan (PBT). Ini penting untuk memastikan pembangunan kawasan tersebut berjalan lancar dan memenuhi keperluan penduduk setempat.
“Walaupun serahan milik ke PBT menjadi lazim, wujud ketidaksempurnaan dalam pelaksanaannya seperti yang berlaku di daerah Tawau dan Kalabakan. Terdapat di beberapa kawasan pihak pemaju masih menguruskan infrastruktur dan perkhidmatan awamnya sendiri tanpa melibatkan pihak berkuasa tempatan, meski penduduk telah membayar cukai pintu.
“Keengganan/ kegagalan pemaju menyerahkan tanggungjawab kepada PBT menyebabkan beberapa masalah signifikan. Di antaranya penyelenggaraan jalan yang perlu diturap baru, sistem perparitan tersumbat, pemotongan rumput yang tidak teratur dan lampu jalan tidak berfungsi. Ini bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan dan keselamatan oenduduk, malahan mengabaikan pembangunan kawasan tersebut secara keseluruhan.”
Rina berkata, terdapat beberapa langkah proaktif yang boleh diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah ini antaranya adalah:
i) Mengemaskini dasar berkaitan “serahan milik” dan pemeliharaan infrastruktur awam di bawah bidang kuasa PBT.
ii) Menilai prestasi pemaju dalam menyerahkan tanggungjawab oengurusan kepada PBT seperti mengenal pasti punca ketidakpatuhan di beberapa kawasan.
iii) Memperincikan mekanisma serta insentif yang sesuai untuk mendorong pemaju bekerjasama dengan PBT dalam pengurusan hartanah dan pembangunan kawasan.
iv) Mewujudkan sistem penyeliaan dan penguatkuasaan yang efektif bagi memastikan pemaju patuh terhadap serahan milik kepada pihak PBT.
Selain itu, Rina juga membawa perhatian Kerajaan Negeri kepada aspek perumahan yang kian melambung tinggi.
Selain dari faktor kos bahan bina, nilai hartanah yang ditetapkan oleh pihak PBT juga mempengaruhi keseluruhan kos.
“Nilai yang ditawarkan adalah tidak seimbang, seperti membandingkan harga tanah di bandar Kota Kinabalu dan di tepi bandar Tawau. Bagaimana nilai ini boleh berada dalam rate yang lebih kurang sama sedangkan kualiti sosial dua bandar ini sangat berbeza. Ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan menyebabkan pelabur mengambil satu langkah ke belakang dan ini sangat tidak sihat dalam memastikan perkembangan bandar Tawau seiring dengan keperluan rantau Nusantara yang pastinya memberikan impak kepada masyarakat terutamanya di pantai timur.
“Adakah data yang lengkap dan terperinci dalam mengenal pasti “household income” masyarakat sekitar tawau samada bersedia untuk memiliki rumah atau lot komersil dan berapa ramai yang mempunyai “purchasing power” atau sebaliknya. Ini kerana bandar Tawau perlu beradaptasi lebih ke hadapan dalam menyambut kerancakkan ibukota baharu Indonesia kelak. Potensi “second home” di Tawau boleh diterokai dengan lebih baik jika semua ini bergerak dalam tona yang sama,” ujarnya.
Masalah penerima Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah
Rina turut menyuarakan masalah dihadapi mahasiswa yang menerima Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS).
“Saya menerima beberapa aduan daripada mahasiswa Sabah bahawa biasiswa mereka agak lambat untuk dikreditkan ke akaun mereka, dan sehingga kini majoriti mahasiswa Sabah masih belum lagi menerima biasiswa mereka walaupun sekarang menghampiri fasa pertengahan semester.
“Kelewatan dalam pengkreditan BKNS memberikan beban kepada majoriti pelajar yang memerlukan bantuan kewangan dalam menampung kos kehidupan harian serta pendidikan mereka.
“Pengkreditan BKNS secara tepat pada masanya adalah sangat penting dalam memastikan kestabilan mahasiswa dalam menjalani pengajian mereka dgn lancar dan tanpa tambahan beban yang tidak perlu,” katanya.
Isu Sistem Pinjaman Pengajian daripada Yayasan Sabah
Selain, Rina berkata, satu lagi isu yang membelenggu mahasiswa Sabah yakni berkaitan dengan Sistem Pinjaman Pengajian daripada Yayasan Sabah (YS).
Menurunya, pada mulanya, YS telah mewujudkan satu sistem pinjaman pengajian yang memberi peluang kepada mahasiswa utk mengejar impian mereka dalam pengajian tinggi.
“Sistem ini menyediakan fleksibiliti di mana pinjaman tersebut akan ditukar kepada biasiswa dengan membayar semula pada kadar yang berpatutan iaitu 25% daripada jumlah pinjaman pengajian, khususnya untuk mereka yang mencapai kecemerlangan akademik dengan keputusan CGPA 3.50 ke atas.
“Namun begitu, keadaan semasa menunjukkan bahawa terdapat ketidakselarasan dalam pelaksanaan sistem ini. Mahasiswa yang telah berjaya mencapai kecemerlangan akademik dengan mencapai keputusan CGPA 3.50 ke atas masih terpaksa membayar semula pinjaman mereka pada kadar 100%.
“Perbandingan dengan sistem pinjaman pendidikan MARA menjadi relevan untuk kita memahami dengan lebih jelas. Dalam sistem MARA, mahasiswa yang mencapai keputusan CGPA tertentu memperoleh pengecualian atau pembebasan sebahagian daripada jumlah pinjaman yang perlu dibayar balik. Ini mmberikan suntikan semangat kepada mahasiswa untuk belajar dengan lebih tekun, sekaligus memotivasikan diri mereka untuk berusaha lebih keras bagi mencapai keputusan cemerlang.
“Saya mengusulkan agar Kerajaan Negeri memberi perhatian terhadap isu ini. Sebagai mercu kerajaan Negeri, adalah penting YS menyelaraskan semula sistem pinjaman pengajian mereka dengan mempertimbangkan semula terma dan syarat dalam memberi tumpuan kepada pemberian insentif kepada mahasiswa yang cemerlang.
“Sistem yang adil adalah mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada mereka yang memberikan usaha terbaik. Ini akan memberi galakan kepada mahasiswa untuk berusaha lebihgigih sekaligus mampu meningkatkan mutu pendidikan di Sabah,” katanya.


























