Ellron Angin
KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan memberikan tumpuan kepada 12 elemen melalui Dasar Belia Sabah untuk meningkatkan potensi belia yang lebih berinovasi.
Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Ellron Angin berkata, 12 elemen tersebut meliputi aspek Kepimpinan, Perpaduan, Pendidikan, Keunggulan Personaliti, Integriti, Kesejahteraan Ekonomi, Kesukarelawanan, Kerohanian, Kemahiran dan Pembangunan Keusahawanan, Pengetahuan, Persekitaran, dan Keyakinan.
“Bagi mencapai setiap elemen ini, Kementerian saya telah menyediakan Pelan Strategik Pembangunan Belia Sabah bagi tempoh setiap lima tahun.
“Pelan strategik ini menjadi panduan kepada Kementerian saya untuk mencapai hala tuju pembangunan belia yang dirancang setiap tahun,” katanya menjawab pertanyaan Datuk Annuar Ayub (Liawan) ketika menggulung untuk Kwmenteriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Kepada pertanyaan Datuk Rubin Balang (Kemabong) berkenaan peruntukan menaik taraf padang Pekan Kemabong terutamanya pembinaan astaka (grand stand), Ellron menjelaskan bahawa perkara itu sudah diambil perhatian dan akan disenaraikan dalam program Naik Taraf Padang Bola Sepak Luar Bandar di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Mengenai pertanyaan Calvin Chong Ket Kiun (Elopura) pula, beliau berkata, pada masa ini belum ada peruntukan tersedia bagi membaik pulih gelanggang tinju (Boxing Ring) dan Papan Markah Elektronik (Scoreboard) yang terdapat di Kompleks Sukan Sandakan.
“Walau bagaimanapun, pihak Kementerian telah membuat lawatan pemantauan awalan bersama pihak Kementerian Belia dan Sukan Persekutuan mengenai keperluan naik taraf semua kemudahan di Kompleks Sukan Sandakan.
“Pihak Kementerian mengambil maklum perkara ini dan akan memasukkan perkara ini dalam cadangan naik taraf kemudahan pada masa hadapan untuk tujuan permohonan kepada Kerajaan Negeri dan Persekutuan termasuklah cadangan untuk beberapa perkara lain.
“Perkara yang dimaksudkan termasuk pembinaan bumbung kolam renang; naik taraf bilik gimnasium; pemasangan lampu limpah di padang bola sepak sintetik; dan naik taraf peralatan di dewan gimnastik,” kata beliau.
Mengenai cadangan daripada Datuk Jonnybone Kurum (Telupid) dan Datuk Dr. Yusof Yacob (Sindumin) untuk Kementerian mewujudkan pangkalan data Job Centre bagi para belia mendaftar sebagai pencari kerja dan pencari pekerja, beliau berkata, Kementerian akan memperhalusi cadangan tersebut dengan kerjasama Kementerian dan agensi lain.
Ellron berkata, Kementeriannya akan terus komited untuk memastikan pembangunan belia dan sukan di Sabah akan terus ditadbir urus dengan cemerlang.
“Pada tahun ini, pelbagai program telah dirancang yang kebanyakannya adalah untuk meningkatkan taraf hidup belia dan prestasi sukan seperti mana yang digariskan dalam Dasar Belia Sabah dan Pelan Strategik Pembangunan Sukan Sabah 2021-2030.
“Pada tahun ini, atlet negeri Sabah akan menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak yang akan berlangsung pada 17-24 Ogos 2024 dengan misi untuk mencapai sasaran 40 pingat emas dan berada dalam kedudukan lima negeri terbaik.
“Manakala Para SUKMA yang akan dilangsung pada 22-28 September 2024, kita akan berusaha mengekalkan kejuaraan yang telah dicapai pada Para SUKMA 2022,” jelas beliau.



























