James Ratib
KOTA KINABALU: Pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 3 baharu di Penampang telah diluluskan di bawah Rolling Plan 3 (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan kos sebanyak RM50 juta, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.
Beliau yang juga Exco Kesihatan Sabah berkata, pembinaan Klinik Kesihatan tersebut juga telah diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sebagai agensi pelaksana.
“Klinik Kesihatan Jenis 3 adalah mengikut piawaian yang telah ditetapkan dan mempunyai lebih banyak perkhidmatan pesakit luar,” kata beliau.
Berkenaan perancangan untuk membina Hospital Penampang pula, beliau berkata, ia akan dilaksanakan sekiranya tapak yang sesuai telah dikenal pasti.
James berkata demikian semasa menggulung untuk Kementeriannay pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
James yang juga ADUN Sugut, turut memaklumkan bahawa pemasangan Position Emission Tomography (PET) Scan telah diluluskan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di bawah RP3 RMK12, dengan kos sebanyak RM30 juta.
Sementara itu, beliau memberitahu perkhidmatan kesihatan Klinik Desa Tronglit telah dipindahkan ke Klinik Desa Karamunting yang mengambil masa kira-kira 20 minit perjalanan.
Katanya, pembinaan bangunan Klinik Desa baharu Tronglit masih belum dilaksanakan memandangkan tapak yang tersedia seluas 0.3 ekar tidak mencukupi untuk pembinaan Klinik Kesihatan.
“Tapak tambahan seluas 0.2 ekar telah dipohon dan dalam proses pewartaan agar keseluruhan tapak minima 0.5 ekar dicapai bagi pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 7 Tronglit di bawah RMK13.
“Sebagai makluman tambahan, Klinik Kesihatan Sandakan turut memberikan perkhidmatan Klinik Bergerak ke Tronglit sebanyak sebulan sekali.
“Klinik Bergerak dilaksanakan untuk memberikan perkhidmatan Pesakit Luar dan turut dijalankan di Kepulauan Sekong setelah pemindahan Klinik Desa Tronglit,” katanya ketika menjawab pertanyaan yang diutarakan oleh Alias Sani (Sekong).
Menjawab soalan daripada Datuk Jonnybone Kurum (Telupid), James berkata, setakat ini terdapat 10 orang pesakit buah pinggang di Daerah Telupid yang direkodkan.
“Lima orang pesakit mendapat rawatan di Pusat Dialisis Hospital Duchess of Kent Sandakan, manakala lima orang pesakit lagi mendapat rawatan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) iaitu rawatan yang dilakukan oleh pesakit sendiri di rumah.
“Sebagai makluman, Kementerian saya melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bersetuju untuk mewujudkan Unit Hemodialisis di Klinik Kesihatan Telupid.
“Pewujudan ini dipersetujui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan memberi kelonggaran kepada Negeri Sabah dan Sarawak atas faktor geografi,” kata beliau.
Mengenai aduan kakitangan yang tidak mesra kepada masyarakat pula, James berkata, Kementeriannya melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah sedang membuat siasatan bagi mengenal pasti kakitangan yang dimaksudkan bagi mendapat kesahihan aduan yang diterima.
“Kementerian memandang serius perkara ini dan tindakan yang tegas akan diambil,” jelas beliau.




























