Shahelmey Yahya
KOTA KINABALU: Kerajaan telah membayar pampasan tanah bernilai RM1.147 billion di bawah Rakan Penyampai Projek (PDP) projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah setakat 1 April 2024.
Timbalan Ketua Menteri Sabah III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, maklumat dari Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTU) menunjukkan jumlah tersebut melibatkan sebanyak 1,591 orang pemilik tanah dan struktur.
Katanya, jumlah yang dibayar adalah melibatkan 12 pakej semasa di bawah seliaan PDP mengendalikan projek tersebut.
Pakej-pakej ini termasuklah Menaik taraf jalan dari Sindumin ke Kg. Melalia; Menaik taraf jalan dari Kg. Melalia ke Beaufort; dari Beaufort ke Bongawan; dari Bongawan ke Papar; dari Papar ke Donggongon; dari Putatan ke Inanam; dari Inanam ke Sepanggar; dari Sepanggar ke Bulatan Berungis; Membina jalan dari Pituru ke Rampayan Laut; Menaik taraf jalan dari Tawau ke Semporna; Membina Jalan Lahad Datu Bypass; dan Menaik taraf jalan dari Kg. Lot M ke Sandakan Batu 32.
Shahelmey menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Senallang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabag, di sini, hari ini.
Mohd. Shafie bertanya berapa jumlah keseluruhan pampasan tanah dan pemilik tanah yang telah dibayar bagi setiap 11 pakej di bawah PDP projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah.
Shahelmey juga menjawab pertanyaan tambahan daripada Mohd. Shafie yang bertanya adakah senarai tanah-tanah yang ada dan jumlah kos yang ditampung sehingga RM1.2 billion yang dibelanjakan agak banyak, dan Datuk Suhaimi Nasir (ADUN Dilantik) yang membangkitkan terdapat banyak kes-kes pampasan akibat pengambilan tanah untuk tujuan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang masih belum diselesaikan disebabkan kes tuntutan waris di peringkat Mahkamah Sivil berpanjangan dan apakah langkah-langkah yang diambil oleh pihak Kerajaan untuk membantu proses kes seperti ini?
Shahelmey berkata, jumlah pampasan tanah dan struktur di Sarawak adalah rendah berbanding di Sabah kerana di Sarawak, koridor jalan sedia ada mereka adalah selebar 100 meter, manakala di Sabah pula, koridor sedia ada adalah selebar 30 meter sahaja.
“Secara dasar pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan juga Sarawak adalah untuk menaik taraf jalan Persekutuan utama yang sedia ada.
“Namun demikian, memandangkan jalan Persekutuan sedia ada adalah bertaraf satu lorong dua hala yang dinaik tarafkan kepada dua lorong dua hala, maka ia melibatkan pengambilan tanah yang lebar,” katanya.
“Pengambil alihan tanah di Sarawak melibatkan kurang pampasan berbanding dengan Sabah, di mana ia melibatkan bukan sahaja mengambil alih tanah, namun pembayaran ganti rugi rumah-rumah ataupun struktur-struktur yang terlibat,” katanya.
Sementara itu, Shahelmey menjelaskan bahawa bagi fasa 1A, ia melibatkan 15 pakej yang sedang berlangsung.
“Terdapat RM114.7 juta yang belum dapat dibayar disebabkan kes-kes rayuan dan juga tuntutan waris.
“Proses ini adalah diluar bidang kuasa Jabatan Kerja Raya dan perlu mengikuti prosedur sedia ada,” jelas beliau.
































