Julita Majungki
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah menerima hampir RM24 juta jumlah pulangan royalti ke atas hasil jualan emas mentah sejak perlombongan emas di Bukit Mantri, Tawau mula beroperasi pada tahun 2018.
Pembantu Menteri Kewangan I Datuk Julita Majungki berkata, sejak lombong itu mula beroperasi, sebanyak 2,300kg jongkong emas telah dijual dengan nilai RM585 juta dan Kerajaan Negeri telah menerima 5% Royalti ke atas hasil jualan emas mentah yang berjumlah RM23,967,315.79.
“Sabah merupakan negeri bertuah dan berpotensi tinggi bagi membangunkan industri emas berdasarkan hasil kajian kerja carigali (penerokaan) dan pengeluaran Pajakan Lombong (Mining Lease) bagi Operasi melombong.
“Buat masa ini, operasi perlombongan emas hanya dijalankan di Bukit Mantri, Tawau dengan keluasan 317.7 hektar di atas Pajakan CL.105681141.
“Untuk makluman, Kerajaan Negeri belum mengenakan cukai jualan negeri dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) juga tidak mengenakan duti eksport ke atas emas yang dibawa keluar dari Sabah ke Semenanjung Malaysia kerana ianya penjualan domestik sahaja setakat ini,” kata beliau semasa menjawab pertanyaan Datuk Seri Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Senallang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Yong bertanya adakah cukai jualan dan cukai eksport dikenakan bagi emas yang diambil keluar dari Sabah dan sekiranya ya, apakah cukai yang dikenakan bagi pengeksportan emas, manakala Mohd. Shafie bertanya apakah tindakan pihak Kerajaan bagi memastikan Sabah tidak kerugian akibat kehilangan hasil negeri berikutan rampasan 110kg jongkong emas di Lapangan Terbang Tawau pada Januari lalu.
Mengenai isu rampasan 110kg jongkong emas oleh Polis Bantuan di Lapangan Terbang Tawau pada 6 Februari 2024, Julita menjelaskan bahawa jongkong emas tersebut hanya ditahan sementara dan diserahkan kepada JKDM untuk siasatan lanjut.
“JKDM juga telah mengesahkan tiada perlanggaran terhadap Akta Kastam, dan/atau perlanggaran perundangan subsidiari yang dibuat di bawah Akta Kastam 1967.
“Ini disebabkan jongkong emas tidak tertakluk kepada Perintah Kastam (Larangan mengenai Import) 2023, (Larangan mengenai Eksport) 2023 dan (Larangan Pemindahan) 2022.
“Oleh yang demikian, barangan terbabit telah dikembalikan kepada pembawa,” kata beliau.
Julita berkata, bagi memastikan kutipan hasil yang optimum, Kerajaan Negeri dengan kolaborasi Pejabat Hasil Bumi (SUHB), Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), Sabah Mineral Mangement Sdn. Bhd. (SMM), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan JKDM akan menambah baik proses perlombongan dan peleburan emas menjadi lebih telus dan efektif.
“Ketua Menteri telah melantik Pengarah JTU sebagai Ketua Merinyu Galian selaras dengan Seksyen 2, Ordinan Perlombongan Sabah 1960 bermula pada 1 Januari 2023 untuk mentadbir Sistem Pentadbiran Mineral di Sabah dan mengawal selia operasi perlombongan.
“Jawatankuasa Pemandu Bersepadu telah ditubuhkan bagi menjalankan aktiviti pemantauan operasi perlombongan emas. Jawatankuasa ini telah memperkenalkan Sistem Tiga Kunci (3 Key-System) bagi aktiviti pemantauan yang diadakan dua kali sebulan.
“Kuantiti jongkong emas yang terhasil semasa proses peleburan akan disahkan oleh SUHB dan JTU manakala kualiti serta jenis emas tersebut akan ditentukan mengikut laporan analisis kimia dikemukakan oleh operator sebelum dijual kepada pembeli,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui JTU, SUHB dengan kerjasama SMM akan mengukuhkan penguatkuasaan undang-undang serta peraturan berkaitan aktiviti perlombongan mineral berdasarkan Ordinan Perlombongan Sabah 1960 dan Ordinan Tanah Bab 68 melalui pemerkasaan Rangka Kerja Pengawalseliaan (Regulatory Framework).
Ini katanya, sejajar dengan Seksyen 28, Ordinan Perlombongan 1960 untuk memperkenalkan peraturan-peraturan baharu bagi operasi perlombongan yang lebih efisien dan mematuhi Konsep Environmental, Social & Governance (ESG).
“Kerajaan Negeri juga akan mengkaji semula kontrak perjanjian dan ordinan, akta dan enakmen berkaitan untuk meningkatkan kadar royalti emas daripada 5% kepada 10% ke atas emas mentah yang dihasilkan daripada aktiviti perlombongan tersebut.
“Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan mempertimbangkan pengenaan Cukai Jualan Negeri ke atas emas yang dibawa keluar dari Sabah.
“Sebagai salah satu inisiatif kerajaan untuk menjaga kelestarian alam semula jadi, peraturan perlombongan juga perlu diperketatkan di samping meningkatkan kesedaran mengenai pemeliharaan alam semula jadi, kewaspadaan risiko kecurian dan rampasan emas kepada pemain indusri emas tempatan, pihak swasta dan masyarakat setempat,” kata beliau.
Julita menambah, intervensi sains dan teknologi juga amat ditekankan bagi memastikan aktiviti melombong emas dapat dijalankan dengan lebih efisien, mampu meningkatkan kualiti dan kuantiti emas serta memberi kesan minimal kepada alam sekitar.
Menurut beliau, industri emas ini masih lagi baharu dan Kerajaan Negeri sentiasa prihatin serta mengambil berat isu-isu yang timbul terutamanya yang berkaitan dengan penjanaan hasil kepada negeri.
“Kerajaan akan sentiasa menambahbaik proses perlombongan mineral yang bukan sahaja emas di samping memperketatkan peraturan sedia ada bagi memastikan Kerajaan Negeri dapat mengutip hasil yang maksimum,” jelas beliau.


































