PORT DICKSON: Seorang lelaki 41 tahun ditemukan maut dengan kesan kelar di leher dalam kejadian di tepi Jalan Kilometer 10, Jalan Seremban-Port Dickson, di sini, pagi Sabtu
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kira-kira pukul 9.20 pagi, Kaunter Aduan Balai Polis Lukut telah menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan terdapat seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi jalan berkenaan.
Menurutnya, pihak polis dari Balai Polis lukut, Bahagian Siasatan Jenayah, Pihak Forensik dan ambulans telah hadir ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati mangsa seorang lelaki dalam keadaan lengkap berpakaian ditemukan terbaring di semak berdekatan pondok bas dan disahkan telah mati.
“Pemeriksaan ke atas tubuh badan si mati mendapati terdapat kesan kecederaan dan disyaki telah dibunuh menggunakan senjata tajam,” katanya kepada pemberita, di sini kelmarin.
Ujar Aidi Sham lagi, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sebuah motosikal yang didaftarkan atas nama si mati, topi kaledar, selipar dan seutas jam tangan manakala tiada dokumen peribadi milik si mati dijumpai.
Menurutnya, hasil daripada bedah siasat yang dijalankan di Hospital Port Dickson hari ini mendapati terdapat kesan tetakan pada bahagian tepi leher dan kepala.
“Punca kematian adalah disebabkan luka kelar di leher. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya sambil menjelaskan motif kejadian masih belum diketahui.
Sehubungan itu, polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Husairin Che Hussin di talian 012-9654927 atau Bilik Gerakan IPD Port Dickson 06-646 2999 atau mana-mana balai polis berdekatan.
























