Zulkarnain Mahdar
KOTA KINABALU: Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, kenyaatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO Sabah akan memerintah semula di Sabah dilihat hanya sebagai sebuah angan-angan indah dan penyedap telinga untuk segelintir ahli-ahli UMNO di Sabah.
“Tidak salah untuk berangan-angan tetapi melihat kepada situasi semasa dan mendatang hanya berbekalkan semangat sahaja tidak boleh dijadikan sebagai modal untuk UMNO menumbangkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) di Sabah.
Zulkarnain mengulas kenyataan Zahid pada Majlis Perasmian Cawangan-cawangan dan Santapan Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Putatan kelmarin yang menyuarakan keyakinan bahawa UMNO Sabah yang berdepan dengan ujian ketika ini akan memerintah semula Sabah.
“Hakikat sebenar yang perlu diterima oleh Zahid dan barisan Ahli Majlis Tertinggi UMNO adalah selagi Datuk Seri Bung Moktar Radin masih menerajui UMNO di Sabah serta kebersamaan dengan Parti Warisan (WARISAN) terjalin utuh kenyataan UMNO akan memerintah Sabah dilihat hanya sebagai sebuah retorik dan terlalu sukar menjadi kenyataan.
“Saya membuat kenyataan ini disokong dengan fakta yang sahih.
“Sebagai salah seorang bekas aktivis dan ahli UMNO yang telah menjadi barisan hadapan sejak sekian malahan turut terlibat sebagai individu menumbangkan (WARISAN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) lalu hakikat yang perlu diterima oleh semua pihak adalah UMNO Sabah telah dirosakkan oleh Bung Moktar.
“Keputusan kudeta di Sabah yang dikenali juga sebagai ‘Langkah Kinabalu’ pada 5 Januari 2023 bersama WARISAN adalah satu kesilapan besar yang telah dilakukan oleh Bung Moktar dan inilah punca bermulanya titik perpecahan UMNO di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkarnain berkata, beliau juga agak hairan dari sumber mana pimpinan UMNO memperolehi angka untuk menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah sehingga Zahid boleh membuat kenyataan UMNO boleh memerintah Sabah semula kerana wujud kajian oleh badan bebas termasuk penganalisis politik yang menunjukkan kerusi selamat bagi UMNO di Sabah kini hanya berbaki dua atau tiga kerusi sahaja.
“Kalaulah perancangan bersama WARISAN pula digunakan sebagai salah satu formula untuk merampas semula Sabah, UMNO jelas berada pada langkah yang cukup salah.
“WARISAN secara total telah ditolak oleh majoriti rakyat di Sabah dan sebagai bukti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu parti ini hanya menang tiga kerusi selepas bertanding 25 kerusi di Sabah.
“Parti UPKO sebagai contoh hampir lumpuh sepenuhnya bila bersama dengan WARISAN malahan pada PRN16 parti itu
hanya menang satu kerusi sahaja dan mujur barisan kepimpinan UPKO segera bertindak meninggalkan kerjasama dengan WARISAN,” katanya.
Zulkarnain mendakwa Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sedar akan situasi ini dan sebab itu UMNO melalui Bung Moktar telah digunakan untuk melonjakkan kembali momentum sokongan rakyat kepada WARISAN.
“Rakyat Sabah sebenarnya secara total telah menolak WARISAN dengan alasan rekod buruk parti itu semasa memerintah Sabah selama 26 bulan.
“Kegagalan membawa masuk walau satu pun pelabur luar ke Sabah, kadar KDNK jatuh ke paras 0.5 peratus, isu sempornasisasi, cadangan penempatan sebuah pulau kepada PTI malahan terlalu banyak isu yang menyebabkan rakyat dilihat merasa ngeri untuk memilih semula WARISAN memerintah Sabah.
“Momentum penolakan oleh rakyat Sabah ini dijangka akan berteruskan sehingga ke PRN17 yang akan datang,” katanya.


































