Anwar (duduk-tiga kanan) bersama pimpinan MPN Sabah semasa perjumpaan khas di Kota Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU: Keputusan mengenai Majlis Pimpinan Negeri (MPN) akan diumumkan dalam masa yang singkat.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah berunding dengan semua ketua cabang dan pandangan mereka akan dipertimbangkan sebelum keputusan dibuat.
“Mereka telah berikan pandangan pelbagai tentang (MPN) dan saya akan berikan keputusan dalam masa yang singkat. Saya telah berunding dengan semua ketua cabang.
“Mereka beri pandangan dan saya akan pertimbangkan dan saya akan rujuk kepada pimpinan pusat,” katanya selepas menghadiri perjumpaan khas MPN Sabah hari ini.
Menurut beliau, ada banyak nama yang telah dikemukakan. Jadi, keputusan akan dibuat selepas merujuk kepada pimpinan pusat dan mengambil kira pandangan ketua-ketua cabang.
Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Anwar berkata, MPN Sabah hanya berbincang tentang persiapan untuk meningkatkan kegiatan di peringkat akar umbi dan peringkat ranting.
Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, dalam perbincangan khas itu tiada nama yang spesifik dibincangkan.
Namun, apa yang Presiden akan lakukan adalah mengadakan konsultasi dengan ketua-ketua cabang dan proses itu telah berjalan.
“Saya rasa esok…insyaAllah ada pengumuman,” katanya.
Menurut Menteri Komunikasi itu, selepas ini mengikut kelaziman, Presiden akan bawa hasil perbincangan ke majlis pimpinan pusat.
Kata beliau, mesyuarat akan diadakan esok dan seperti yang berlaku di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis setelah diadakan mesyuarat pusat maka, akan diputuskan dan diumumkan.
Berkemungkinan keputusan akan diumumkan esok atau selepas mesyuarat pimpinan pusat kerana mesyuarat hanya diadakan sekali sebulan.
Pada 18 Mac lalu, 15 ketua cabang menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk mendesak Pengerusi MPN Sabah digantikan dengan ketua cabang yang mendapat sokongan majoriti daripada semua ketua cabang PKR.
Ketua cabang yang menandatangani SD itu adalah Ketua Cabang Kota Marudu, Sazayle Donol Abdullah, Datuk Mustapha Sakmud (Kota Belud); Datuk Christina Liew (Kota Kinabalu); Peto Galim (Sepanggar); Razeef Rakimin (Tuaran); Raymond Ahuar (Pensiangan)
Turut menyatakan keputusan sama ialah Wendey Agong (Sipitang); Dikin Musah (Beaufort); Basran Omar (Beluran); Azmi Tambuyong (Kinabatangan); Roslee Malek (Papar); Awang Chuchu (Kimanis); Roslan Sapar (Kalabakan); Aris Remigius (Batu Sapi); dan Amin Mem (Semporna).


































