KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited membasmi insiden kemiskinan khususnya menoktahkan miskin tegar di Sabah.
Pada masa ini, kerajaan negeri dengan kerjasama semua pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan serta syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan pemain industri sedang melaksanakan program menoktahkan kemiskinan tegar.
Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin berkata, sehingga September 2023, bilangan ketua isi rumah (KIR) miskin tegar dalam sistem eKasih adalah seramai 22,510 orang.
Namun, setakat Mac lalu, dilaporkan seramai 13,179 KIR miskin tegar di Sabah. Ia menunjukkan penurunan sebanyak 42 peratus hasil daripada pemurnian data KIR miskin tegar.
“Justeru, kerajaan negeri akan melaksana program pembasmian kemiskinan tegar secara berfasa iaitu program jangka masa pendek, sederhana dan panjang meliputi lima teras utama bagi tujuan pemadanan bantuan atau intervensi yang bersesuaian kepada miskin tegar iaitu pekerjaan, keusahawanan, perumahan, pendidikan dan kebajikan.
“Melalui strategi jangka masa pendek yang memfokuskan dalam memberikan peluang pekerjaan, inisiatif seperti MySMJ: Profiling, MySMJ Kerja: PBT, MySMJ Kerja: DO, MySMJ Kerja: GLC dan MySMJ Kerja: Industri dilaksanakan bertujuan untuk membantu rakyat dalam kalangan miskin tegar untuk memperoleh pendapatan tetap atau menikmati peningkatan pendapatan melalui penyediaan peluang pekerjaan.
“Di samping itu, pelbagai inisiatif/bantuan kepada KIR dan ahli isi rumah miskin tegar juga telah dikenal pasti melalui pelaksanaan profiling bagi padanan bantuan mengikut kesesuaian,” katanya dalam ucapan dasar kerajaan sempena Istiadat Pembukaan penggal kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Dalam pada itu, Juhar berkata, kerajaan negeri juga sedang mempergiatkan pelaksanaan Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya bagi memastikan rakyat di luar bandar segera menikmati penginapan yang selesa dan selamat yang mana secara langsung akan membantu meningkatkan taraf kehidupan golongan ini.
Pada tahun ini, disasarkan sebanyak dua puluh unit rumah akan dibina di setiap kawasan DUN.
Pada masa sama, sebanyak lima projek perumahan di bawah Program Perumahan Mampu Milik akan dilaksanakan kerajaan negeri meliputi 644 unit rumah di Kota Kinabalu dan Beaufort.
Di bawah Projek Perumahan Awam pula, sebanyak empat buah projek akan dilaksanakan tahun ini melibatkan 175 unit rumah teres di daerah kecil Sukau, Beluran, Pitas dan kawasan Melalap serta pembinaan 50 unit rumah berkembar dalam fasa tiga Projek Perumahan Awam di daerah kecil Kemabong.
































