Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif
KOTA KINABALU: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif meminta ibu bapa dan keluarga 337 pelajar dari Sabah yang sedang menuntut di Timur Tengah agar bertenang berikutan krisis terkini yang berlaku di sana.
Untuk rekod, seramai 248 anak-anak Sabah sedang menuntut di Mesir, 79 di Jordan dan sembilan di Arab Saudi.
Mereka ini belajar di beberapa buah universiti dalam pelbagai jurusan dan mendapat biasiswa, dermasiswa dan ada juga yang belajar dengan biaya sendiri.
Antara penaja mereka adalah Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah, Yayasan Sabah, MUIS, dan JPA.
Dr. Mohd. Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Hal Ehwal Islam Sabah berkata, Kerajaan menerusi Wisma Putra dan Kementerian Pendidikan Tinggi memantau keadaan anak-anak Malaysia yang sedang berada di sana khasnya di Jordan dan Mesir.
“Kerajaan Negeri Sabah juga dari masa ke masa akan berhubung dengan pihak Wisma Putra dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia untuk mendapatkan maklumat terkini.
“Baru sebentar tadi saya berhubung dengan Timbalan Menteri Luar /Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin berhubung perkara ini.
“Alhamdulillah, menurut beliau Kementerian Pendidikan Tinggi / Wisma Putra sudah bersedia dengan apa-apa keadaan termasuk membawa balik anak-anak kita sekiranya keadaan memerlukan.
“Saya dan Pengarah Yayasan Sabah Datuk Seri Ghulam Haidar sentiasa berhubung dengan wakil Sabah (Pegurus Kanan Pelajar Yayasan Sabah / Atase Pendidikan Sabah di Timur Tengah) yang menjaga anak-anak Sabah di Mesir, Jordan dan Arab Saudi, Ustaz Sabli Aliju berhubung situasi semasa anak-anak Sabah di tiga negara berkenaan,”katanya dalam kenyataan di laman Facebook beliau hari ini.
Menurutnya, Sabah ada pengalaman menyelaras dan memantau malah membuat penghantaran balik anak-anak Sabah ke tanah air ketika krisis politik yang berlaku di Mesir.
“Berdoalah kita moga krisis yang tegang kembali tenang agar anak-anak kita yang berada di luar negara berada dalam keadaan baik, tenang dan selesa menjalani pengajian mereka.
“Di samping mendoakan keselamatan anak-anak kita di perantauan, teruslah mendoakan keselamatan dan kesejahteraan saudara-saudara kita di Palestin yang sedang menerima ujian,” katanya.






























