Jahid dan isteri, Datin Malianah Ugau mengabadikan gambar kenangan bersama tuan rumah Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Kampung Suang Bangau, Tenghilan.
TAMPARULI: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, amalan saling kunjung-mengunjungi yang merupakan satu tradisi oleh ahli-ahli keluarga, tetangga dan sahabat pada Hari Raya Aidilfitri dan perayaan lain perlu diteruskan.
“Ambillah masa dan peluang untuk mengeratkan hubungan silaturrahim sesama ahli keluarga, tetangga dan sahabat, agar kita dapat menghabiskan masa bersama-sama, berkongsi cerita dan mengeratkan ikatan yang telah terjalin,” katanya semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri keluarga Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Tamparuli, Gustin Gagah di Kampung Suang Bangau, Tenghilan.
Katanya, tradisi kunjung-mengunjungi semasa Hari Raya dapat memupuk nilai-nilai keharmonian dan toleransi dalam suasana yang penuh dengan kegembiraan dan keberkatan.
“Kunjungan ini menjadi peluang untuk melupakan segala perbezaan dan memperkuat persaudaraan antara individu dari latar belakang dan kepercayaan yang berbeza-beza.
“Seharusnya kita jadikan kunjungan semasa Hari Raya sebagai sebahagian daripada warisan budaya yang penting, agar kita dapat memelihara dan mengukuhkan identiti budaya, sambil menghormati dan menghargai kepelbagaian budaya di sekeliling kita.”
Majlis tersebut dihadiri para pemimpin masyarakat dari seluruh daerah kecil Tamparuli, termasuk para pemimpin parti politik kerajaan dan pembangkang.
































