KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menjalankan Operasi Bersepadu Pemeriksaan Perangkap Lemak di Premis Makanan di Lintas Plaza, di sini, pada 4 April.
Objektif operasi bersepadu ini adalah untuk memeriksa keadaan perangkap lemak di premis makanan di kawasan Lintas Plaza sama ada ianya dipasang mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan diselenggara dengan baik.
DBKK dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (JKPB) DBKK telah mengeluarkan tujuh kompaun di bawah Undang-undang Kecil (Makanan dan Premis Makanan) 1966 dan satu kompaun di bawah Undang-undang Kecil (Anti Sampah Sarap) 1984 semasa operasi tersebut.
Jumlah premis makanan yang telah diperiksa adalah 30 premis dan jumlah perangkap lemak yang telah diperiksa adalah sebanyak 46 unit.
“Seramai 20 orang anggota DBKK terlibat dalam operasi bersepadu ini yang terdiri daripada anggota-anggota Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (JKPB) dan Jabatan Kejuruteraan.
“DBKK menasihatkan kepada semua pemilik premis makanan dalam kawasan Bandaraya Kota Kinabalu untuk memastikan perangkap lemak di setiap premis makanan mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan berfungsi dengan baik. Pemeriksaan secara berkala akan dilaksanakan oleh DBKK dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu.
































