Pairin (duduk, tengah) semasa sidang media itu.
PENAMPANG: Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) akan melancarkan gerai Hongkod Avenue di perkarangan Dewan Hongkod Koisaan KDCA, di sini, Sabtu ini (13 April).
Mengumumkan ini pada sidang media diadakan di Dewan Tan Sri Pairin di Hongkod Koisaan KDCA di sini hari ini, Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, gerai-gerai ini akan mempamerkan pelbagai jenis makanan dan kraf tempatan.
“Pembukaan rasmi gerai-gerai di Hongkod Avenue KDCA, menandakan satu acara yang bersejarah, pembukaan ini adalah tepat masa untuk memberi tempat selesa kepada pengunjung ke Hongkod Koisaan dan Pesta Kaamatan pada bulan Mei 2024.
“Hari ini, kami sangat berbesar hati untuk mengumumkan bahawa Hongkod Avenue merupakan mercu tanda bagi pelbagai makanan dan kraf tempatan yang terbaru di Kota Kinabalu/Penampang.
“Perkembangan ini menjanjikan satu era baharu yang akan mengubah pengalaman membeli-belah bagi pelawat yang datang dekat dan jauh. Dengan pelbagai jenis hidangan dan kraf tangan, Hongkod Avenue bertujuan untuk menjadi tempat yang memberikan kepuasan rasa dan kenikmatan budaya dan tradisi Masyarakat Kadazan Dusun. Ianya akan menjadi pusat dinamik di mana semangat kesatuan yang padu berkembang.
“Perubahan di Hongkod Koisaan bukan sekadar mengenai fizikal tetapi juga menjadi tempat dimana keluarga dan rakan-rakan boleh berkumpul untuk menikmati makanan, membina kenangan, berkongsi memori, dan menikmati keindahan tradisi kami,” katanya.
Pairin berkata, pada masa lampau, perayaan Kaamatan agak tidak selesa oleh kerana gerai gerai yang dibena hanya berbentuk khemah sementara.
“Mereka yang berkunjung tidak selesa, mahal, dan tidak memuaskan. Hari ini menandakan satu langkah penting untuk maju kehadapan.
“KDCA telah memutuskan untuk menggantikan khemah sementara tersebut dengan bangunan tetap, dilengkapi dengan kemudahan dan utiliti. Peningkatan ini bukan sahaja langkah untuk menaiktaraf kawasan Hongkod tetapi juga mencerminkan komitmen kami untuk memastikan kejayaan dan kelestarian KDCA dan juga perniaga peniaga kecil. Sementara itu para pelawat ke Hongkod Koisaan KDCA dan perayaan Pesta Kaamatan juga dapat menikmati keselesaan. Bukan sekadar sebuah pasar; ia mencerminkan ketabahan dan komitmen komuniti kami untuk mengekalkan tradisi dan warisan budaya.
“Untuk makluman, pihak KDCA telah menerima banyak permohonan untuk mengusahakan gerai di Hongkod, malangnya, disebabkan ruang yang terhad, tidak semua permintaan dapat dipenuhi. Sekarang ini kita hanya ada 22 gerai makan dan 12 gerai kraft di Hongkod Avenue, tidak lama lagi kita juga akan ada pasar mini disini.
“Kepada mereka yang telah mendapatkan premis berniaga di gerai ini , saya mengucapkan tahniah yang tulus ikhlas. Komitmen dan kesungguhan anda pasti akan menambahkan keceriaan Hongkod Avenue. Saya menggalakkan semua operator gerai untuk mengambil peluang ini untuk mempamerkan budaya dan warisan tempatan kita, mengubah Hongkod Avenue bukan sahaja menjadi destinasi kuliner (culnery) dan kraf tangan tetapi juga pusat hiburan, rekreasi, dan perhimpunan untuk mengeratkan persahabatan, kesatuan dan silaturahim.”
Beliau berkata, di sebelah gerai-gerai tersebut juga terdapat Kampung Budaya Koisaan (KCV) yang merupakan ‘muzium hidup’. Terdapat 12 rumah tradisi, penuh dengan aktiviti yang menjanjikan pelawat satu pengalaman yang menakjubkan, jelasnya.
“Selepas menikmati keunikan rumah rumah budaya di Koisaan Cultural Village anda bolehlah singgah di gerai-gerai untuk menikmati makanan dan membeli cenderahati untuk orang tersayang. Mari kita cipta kenangan yang tidak dapat dilupakan bersama, dengan merayakan budaya kita, dan membina persahabatan yang berkekalan.”
Pairin berkata, selain itu, dengan membuka gerai dan KCV kepada pelawat dari dekat dan jauh, KDCA membayangkan Hongkod Avenue akan menjadi destinasi pelancongan yang sibuk, terkenal dengan produk tempatan autentik dan keramahan mesra orang-orang kita.
“Kita akan jadikan tempat ini juga sebaga ‘duta’ budaya unik komuniti di Sabah,” tambahnya.
Selain itu, katanya, ia memenuhi objektif Hongkod Avenue iaitu untuk membolehkan Persatuan ini (KDCA) menjana pendapatan untuk membiayai pelbagai aktiviti sepanjang tahun; untuk menyediakan platform bagi ahli-ahli KDCA untuk terlibat dalam perniagaan kecil dan meningkatkan status ekonomi mereka; untuk mencipta peluang bagi komuniti Kadazandusun untuk mempamerkan makanan tradisional, kraf dan produk pertanian mereka, di samping mengekalkan warisan budaya untuk generasi akan datang.
“Dengan menyediakan platform pembuat kraf tempatan dan pakar kuliner untuk mempamerkan bakat dan kebolehan mereka, bukan sahaja kita mengekalkan warisan budaya yang kaya tetapi juga mendorong keusahawanan dan inovasi.
“Oleh itu, saya menggesa setiap orang untuk menyokong gerai-gerai ini, merasai pelbagai hidangan tempatan, menikmati keindahan seni kraf. Dengan menyokong keusahawanan tempatan dan mempromosikan budaya kami, kita bukan sahaja mengekalkan tradisi tetapi juga mendorong pertumbuhan ekonomi Sabah.”
Pairin turut mempelawa para tetamu dan agen pelancongan untuk menyertai, mempromosikan, dan membawa pelawat ke sini, untuk mengalami keunikan, keaslian dan kemesraan orang-orang Sabah.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah menjadikan pembinaan gerai-gerai ini menjadi kenyataan. Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan rasa terhutang budi terutama kepada Perdana Menteri kami kerana meluluskan peruntukan RM1 juta dari Kerajaan Persekutuan, sempena Pesta Kaamatan 2023. Dana ini merupakan satu pelaburan penting dalam pemeliharaan warisan budaya Kadazandusun.
“Saya juga ingin mengucapkan penghargaan kepada kontraktor, konsultan dan semua yang telah menyumbangkan tenaga dan kepakaran mereka didalam pembinaan gerai gerai ini.
“Saya menyeru kepada kita semua untuk terus menyokong dan mengangkat satu sama lain sambil bergerak bersama- sama, ke arah masa depan yang lebih cerah,” ujarnya, sambil berharap tempat tersebut menjadi satu permulaan untuk pertemuan-pertemuan menjalin kerjasama dan hubungan yang erat dengan masyarakat tempatan dan luar.


































