Tangkap layar seorang lelaki memukul mangsa dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Bukit Indah, Iskandar Puteri.
ISKANDAR PUTERI: Gara-gara cemburu, seorang lelaki bertindak menyerang dan memukul seorang lelaki yang merupakan kawan isterinya di sebuah stesen minyak di Bukit Indah, Taman Bukit Indah dekat sini, Sabtu.
Menurut Utusan Malaysia, Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superitenden Ibrahim Mat Som berkata, pengadu berusia 26 tahun tampil membuat laporan mendakwa telah dipukul oleh suami kepada kawannya.
Susulan itu, pihaknya telah menahan suspek berusia 35 tahun di Lebuhraya Kota Iskandar, di sini pada pukul 12 tengah hari kelmarin.
“Kita telah menerima laporan mangsa berhubung kejadian yang tular itu dan berjaya membuat tangkapan. Suspek juga ada membuat laporan polis. Hasil soal siasat ke atas pengadu dan suspek mendapati kejadian itu berpunca daripada sikap cemburu,” katanya di sini kelmarin.
Terdahulu, tular video berdurasi 46 saat tular dalam media sosial memaparkan suspek bertindak menumbuk dan menendang isterinya dan pengadu tanpa menghiraukan orang awam di kawasan tersebut.
Mangsa ditumbuk berkali-kali pada bahagian kepala dan mengasari wanita berkenaan dengan menarik rambut mangsa sehingga terjatuh.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.


































