Hajiji bersama warga Pulau Gaya pada program Kembara Kasih Ramadan di SK Pulau Gaya.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri bercadang untuk memperindah Pulau Gaya dan menjadikannya salah satu tarikan pelancongan Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Idea itu sudah lama ada dan Kerajaan Negeri sekarang sedang merancang untuk memindahkan penduduk yang merupakan penduduk tempatan di Pulau Gaya ke tanah besar,” katanya.
Pulau Gaya, katanya, mempunyai kualiti untuk menjadi tarikan pelancong yang baik tetapi kehadiran setinggan di pulau itu tidak sesuai dengan rancangan itu.
“Pulau Gaya mempunyai tempat istimewa dalam sejarah kita dan ia terletak hanya kira-kira lima minit perjalanan menaiki bot dari Ibu Negeri. Kita perlu memanfaatkan perkara ini,” katanya pada program Kembara Kasih Ramadan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya, di sini, hari ini.

Ketua Menteri berkata, Pejabat Parlimen Putatan di bawah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir. Shahelmey Yahya juga merancang untuk membina Klinik Kesihatan di pulau itu.
“Apa yang penting penduduk di sini terus mengekalkan perpaduan, keselamatan dan kebersihan,” katanya.
Hajiji yang diiringi ADUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari turut menyampaikan bantuan yuran persekolahan kepada 70 murid daripada Pejabat ADUN Petagas.
Kemudian, Hajiji bersama Awang Ahmad Sah, Shahelmey, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif dan Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Ghulamhaidar Khan Bahadar menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada masyarakat.
































