Teo Nie Ching
KULAI – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima 7,947 laporan berhubung pautan palsu dalam media sosial untuk disiasat sejak 1 Januari hingga 30 Mac lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, pautan palsu itu antaranya membabitkan kandungan bantuan kerajaan yang mengelirukan pengguna media sosial.
Menurut beliau, laporan pautan palsu berunsur penipuan itu majoriti disebarkan menerusi media sosial Facebook diikuti Telegram, TikTok dan platform digital lain.
“Bila kita terima laporan ‘link’ palsu ini, kita akan menghubungi penyedia rangkaian platform media sosial untuk menurunkan kandungan.
“Setakat ini kita sudah menurunkan 6,987 kandungan atau mesej palsu yang dimuat naik dengan kerjasama penyedia perkhidmatan platform media sosial,” katanya selepas Program Projek Baju Raya Terpakai dan Sumbangan Bantuan Raya di Flat Taman Putri, di sini kelmarin.
Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, salah satu cara penipuan adalah dengan meniru dan mencipta kandungan baharu yang tidak betul dalam pengumuman bantuan tersebut.
Katanya, taktik atau modus operandi itu dilakukan bagi menarik perhatian mangsa sekali gus menjerat mereka yang seterusnya membuka pautan tersebut tanpa rasa ragu.
“Dengan maklumat yang tidak betul seperti akan dapat RM700, mangsa akan terperdaya dengan memberikan maklumat peribadi seperti kad pengenalan, nombor telefon dan akaun bank selain perlu muat turun aplikasi tertentu.
“Jadi kita sebagai pengguna internet perlu tingkatkan pengetahuan digital untuk mengelak menjadi mangsa,” katanya.




























