KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah, Christoper Mandut menggesa Kerajaan Negeri mengeluarkan larangan terhadap Ketua Pemuda Umno Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Sambil menyifatkan ADUN Merlimau itu sebagai ‘raja kontroversi’, Christoper berkata, Sabah tidak mengalu-alukan apa-apa yang boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan rakyat.
“Kita tidak mahu jenis politik mereka datang ke Sabah. Apa yang berlaku di Semenanjung kekal di sana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, mengulas kehadiran Dr. Akmal di Sabah pada Jumaat.

Christoper Mandut
Menyentuh penahanan Dr. Akmal di sini, Christoper berkata, kemungkinan polis memilih Sabah untuk menurunkan kenyataannya kerana pihak berkuasa yakin tiada kemungkinan rusuhan berlaku di negeri itu.
Beliau berkata, rakyat Sabah pada umumnya adalah orang yang tenang dan bertolak ansur, dan merusuh sebenarnya bukan amalan di negeri itu.




























