Zulkarnain Mahdar
KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) membidas kenyataan terkini oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang memperkecilkan usaha Kerajaan Negeri membangunkan Sabah melalui pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Bung dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh media (hari ini) mengkritik Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor kononnya membina deretan papan tanda ‘Sabah Maju Jaya’ tidak akan mengubah kehidupan rakyat di negeri ini.
“Pertama sekali G57 ingin menyatakan bahawa Bung sebenarnya seorang pemimpin cetek akal dan dikuasai oleh sindrom pelupa,” kata Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar.
“Sedarkah Bung semasa pelan pembangunan Sabah Maju Jaya dirancang dan dilancarkan beliau (Bung) adalah salah seorang Menteri Kabinet Sabah malahan menjawat jawatan Timbalan Ketua Menteri.
“Kalau Bung tidak berpuas hati dengan pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya kenapa pelan tersebut tidak dibantah dari awal semasa beliau masih berada dalam Kabinet Negeri Sabah dan lebih menghairankan selepas disingkir dari jawatan Menteri beliau dilihat mula melalak tidak tentu hala.
“Ironinya, Bung juga telah diberikan tanggungjawab sebagai Menteri Kerja Raya Sabah untuk membantu rakyat Sabah menyelesaikan masalah kerosakan jalan, bekalan air dan elektrik tetapi apa yang telah dilakukan sepanjang dua tahun mengemudi kementerian tersebut. Bung dilihat telah gagal sepenuhnya menunaikan tanggungjawab tersebut.
“Amat malang apabila penyakit sindrom penafian dan kurang bijak mula merebak kepada hampir semua pemimpin UMNO Sabah yang pro kepada Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Presiden Parti Warisan).
Zulkarnain berkata, pelaksanaan fasa pertama Hala Tuju Sabah Maju Jaya bermula pada tahun 2021 sehingga 2025 dan berpaksikan kepada tiga teras utama iaitu Sektor Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan.
“Perkataan Sabah Maju Jaya adalah nama rasmi jata negeri Sabah yang mula diperkenalkan secara rasmi pada 16 September tahun 1988.
“Tujuannya untuk kerajaan terdahulu menggunakan nama Sabah Maju Jaya sebagai jata negeri Sabah adalah untuk menjadikan Sabah sebagai negeri yang makmur.
“Hajiji selepas menjawat jawatan Ketua Menteri Sabah telah memgangkat semula nama jata tersebut bagi bertujuan menanam nilai-nilai murni di kalangan rakyat Sabah untuk berdaya saing dan memajukan diri, seterusnya menyumbang kepada pembangunan negeri Sabah, selaras dengan moto tersebut.
“Masih terlalu awal menilai kejayaan pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya tetapi rekod jelas telah menunjukkan Kerajaan Negeri Sabah telah berjaya membawa pelabur luar untuk menbina kilang bernilai hampir RM10 billion.
“Sebagai contoh pembinaan kilang Syarikat SK Nexilis Co Ltd (SK Nexilis) di KKIP, salah satu pengeluar kerajang tembaga terbesar di dunia membawa pelaburan bernilai RM2.3 billion ke Sabah dan kilang pembuatan kaca fotovolta solar (PV) yang dikendalikan oleh SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd bernlai RM3 billion ke Sabah.”
Katanya lagi, kedua-dua kilang ini telah menawarkan ribuan pekerja kepada rakyat Sabah sekaligus menunjukkan Kerajaan Negeri telah berjaya mengurangkan sedikit kadar pengangguran di Sabah.
“G57 pecaya dalam jangkaan lima hingga ke 10 tahun akan datang apabila Kerajaan GRS diberikan mandat berterusan oleh rakyat Sabah masalah utama termasuk pengangguran, jalan raya, bekalan air dan elektrik akan mampu diatasi sepenuhnya,” kata Zulkarnain.






























