PETALING JAYA : Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dilakukan selepas tindakannya berhubung isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di KK Mart.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebanyak dua laporan diterima polis terhadapnya berhubung isu berkenaan.
Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
“Siasatan telah dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara (AGC) setelah kesemua tindakan melengkapkan siasatan diambil.
“Justeru, orang ramai diingatkan supaya tidak membangkitkan isu berkaitan stoking tertera kalimah Allah memandangkan mereka terlibat telah dituduh dan proses keadilan akan ditentukan oleh mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Muhamad Akmal mengesahkan dia ditahan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Penahanan itu disahkan beliau di Facebook rasminya.
Beliau juga bertegas, tidak akan berganjak walau seinci dengan pendiriannya.
Pemuda UMNO sebelum ini memberi tempoh dua hari kepada pengurusan KK Super Mart untuk memasang kain rentang di semua 881 cawangan kedai serbaneka itu di seluruh negara bagi memohon maaf atas penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’.
Dr. Muhamad Akmal juga dipetik memberi amaran Pemuda UMNO akan memulakan boikot lebih kuat terhadap KK Super Mart sekiranya pengurusan kedai serbaneka itu gagal mematuhi tuntutan pergerakan berkenaan.
Pada 28 Mac lalu, Razarudin sekali lagi mengingatkan kepada mana-mana pihak terutama pemimpin masyarakat supaya tidak memainkan sentimen isu 3R berkaitan raja, agama dan kaum sehingga melanggar undang-undang dan mencabar perlembagaan.
Beliau menegaskan, semua pihak perlu terus menyuburkan budaya toleransi dan bertolak ansur antara satu sama lain dengan tidak mengambil tindakan sendiri sebarang isu berkaitan 3R.
Kata beliau, tiada siapa akan dikecualikan daripada diambil tindakan sekiranya menyentuh isu berkaitan 3R ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan semua pihak berhenti mengambil kesempatan dalam isu membabitkan stoking tertera kalimah Allah selepas kes tersebut kini sedang melalui proses perundangan.
Baginda mengingatkan agar tidak ada pihak yang mengapi-apikan kemarahan secara berterusan dalam isu melibatkan pasar raya KK Mart itu.
Baginda juga telah menitahkan untuk tindakan diambil mengikut lunas undang-undang, maka tidak perlu lagi mana-mana pihak terus mengapi-apikan kemarahan secara berterusan.
































