Keadaan mangsa yang ditemukan mati di sebuah kolej vokasional di Sabah.
KOTA KINABALU: Seramai 13 remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Lahad Datu hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di Kolej Vokasional di sini, bulan lalu.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh yang berusia antara 16 hingga 19 tahun itu. Ini kerana, kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Menurut Utusan Malaysia, kesemua remaja terbabit dituduh bersama-sama membunuh Mohammad Nazmie Aizzat Mohd. Narul Azwan di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 21 Mac dan 22 Mac lalu kira-kira pukul 9 malam hingga 7.38 pagi.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun, namun tidak melebihi 40 tahun dan boleh disebat sehingga 12 kali.
Disebabkan kes juvana, pendakwaan dibuat secara tertutup di hadapan Majistret Nur Asyraf Zohani dan hanya keluarga tertuduh dibenarkan berada di bilik bicara.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ng Juhn Tao sementara dua tertuduh diwakili peguam Amirul Amin Rashid serta Kamarudin Mohmad Chinki. Manakala 11 tertuduh lain tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 16 Mei ini sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.






























