Ruddy (empat kiri) menerima borang menyertai Gagasan Rakyat daripada Maslan (tengah).
PITAS: Naib Ketua Penyelaras UMNO, N.3 Pitas, Maslan Selen menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Menurut beliau, keputusan itu dibuat setelah melihat daya kepimpinan pemimpin Gagasan Rakyat terutamanya Datuk Seri Dr. Ruddy Awah yang bersungguh-sungguh memperjuangkan rakyat Pitas ke arah yang lebih baik selain situasi politik UMNO yang berlaku ketika ini.
“Keputusan menyertai Gagasan Rakyat dibuat kerana melihat kesungguhan pemimpin Gagasan Rakyat seperti Datuk Seri Ruddy yang sentiasa prihatin kepada nasib dan keadaan rakyat, beliau berjuang untuk membangunkan daerah ini agar rakyat terbela.
“Situasi politik UMNO yang berlaku ketika ini turut mendorong pemikiran saya menyertai Gagasan Rakyat yang merupakan parti memerintah yang saya yakin berpotensi sangat besar membangunkan ekonomi negeri seterusnya membantu masyarakat.
“Saya dengan rela hati tanpa sebarang syarat hari ini menawarkan diri untuk menyertai Gagasan Rakyat di bawah kepimpinan Datuk Seri Ruddy dan saya yakin selepas ini akan ada lagi beberapa cawangan UMNO di Pitas ini akan menyertai saya.
Beliau berkata demikian selepas memberikan borang keahlian Gagasan Rakyat kepada Ketua Bahagian PGRS N.3 Pitas, Datuk Seri Dr. Ruddy Awah di Dewan Terbuka Kg Salimpodon pada Jumaat sempena Majlis Berbuka Puasa Gagasan Rakyat Bahagian Pitas 2024M/1445H.
Sementara itu, Ruddy menyambut baik penyertaan Maslan dan turut mengalu-alukan pemimpin yang lain untuk turut bersama membangunkan Pitas.
“Kita berbesar hati dan gembira menerima baik penyertaan Tuan Maslan menyertai kita dan diharapkan kehadiran beliau akan menjadikan Gagasan Rakyat Pitas akan terus bertahan dan lebih kuat untuk terus berjuang membantu rakyat dari pelbagai aspek.
“Sebagai ketua bahagian berserta pemimpin-pemimpin Gagasan Rakyat Pitas, sudah semestinya kami mengharapkan kehadiran beliau dari UMNO dan juga dan mengalu-alukan rakan-rakan dari Warisan untuk bersama memastikan Gagasan Rakyat dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah menjadi yang terbaik dalam membela rakyat, “katanya.
Turut hadir, Naib Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Pitas, Datuk Dr. Julkipli Sukur; Timbalan Ketua Bahagian Pitas, Datuk Harun Ismail; Ketua Penerangan Pitas, Datuk Ng Loi Teck; Ketua Wanita Pitas, Ramlah Nasir, Ketua Masyarakat Cina Pitas, Ng Lai Thau dan Pegawai daerah Pitas, Nahalan Medunah.


































