KOTA KINABALU: Kempen “Jom Setel Kompaun” Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang menawarkan pengurangan bayaran kompaun sebanyak 50% sehingga 80% kepada orang awam yang membuat pembayaran secara dalam talian (‘online’) sejak 2 Februari lalu akan berakhir pada 31 Mac.
DBKK dalam kenyataan hari ini memaklumkan, tiada lanjutan tempoh tawaran, pengampunan mahupun rayuan akan diterima selepas 31 Mac 2024.
Katanya, orang ramai boleh membuat pembayaran secara dalam talian dengan melayari eservices.dbkk.sabah.gov.my.
DBKK memperingatkan kepada orang ramai untuk segera melaksanakan tanggungjawab mereka menyelesaikan kompaun yang tertunggak bagi kesalahan Undang-undang Kecil (Peruntukan-peruntukan Tempat Letak Kereta Awam) (Letak Kereta Awam Berkupon) Bandaraya Kota Kinabalu 2014 dan Undang-undang Kecil (Jalan-jalan dan Tempat Awam) Bandaraya Kota Kinabalu 1966, Pindaan 2008; sebelum tarikh tawaran diskaun tamat pada 31 Mac 2024 ini.
Katanya, tindakan perundangan akan diambil ke atas kesalahan bayaran kompaun tertunggak seperti yang dikuatkuasakan di bawah Undang-undang Kecil (Peruntukan-peruntukan Tempat Letak Kereta Awam) (Letak Kereta Awam Berkupon) Bandaraya Kota Kinabalu 2014 dan Undang-undang Kecil (Jalan-jalan dan Tempat Awam) Bandaraya Kota Kinabalu 1966, Pindaan 2008, termasuk tindakan sita kenderaan.
































