Suasana Jabatan Perubatan Forensik, HTJ Seremban susulan kejadian kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di Port Dickson.
PORT DICKSON: Seorang lelaki ditangkap polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang meninggal dunia selepas lebih 10 hari terjatuh dari sebuah kenderaan di daerah ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kaunter aduan Balai Polis Telok Kemang telah menerima panggilan pada pukul 10.05 malam pada 24 Mac lalu dari Hospital Port Dickson yang memaklumkan terdapat seorang pesakit kanak-kanak dalam keadaan kritikal kerana terjatuh dari kenderaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 malam pada 15 Mac lalu ketika suspek iaitu seorang lelaki berusia 38 tahun ingin membuka pintu van semasa berhenti di sebuah kedai.
“Ketika itu suspek dalam perjalanan dari Taman Anggerik untuk ke Taman Mayung, Telok Kemang. Ekoran daripada kejadian tersebut, mangsa telah mengalami kecederaan lebam di beberapa bahagian anggota badan.
“Pada pukul 6.04 petang semalam (Selasa), mangsa telah disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban,” katanya kepada pemberita, di sini, kelmarin.
Jelas Aidi Sham lagi, satu tangkapan telah dibuat terhadap suspek yang dipercayai merupakan teman lelaki ibu mangsa dan mempunyai hubung kait dengan kejadian tersebut.
Tangkapan dibuat kira-kira pukul 8.30 malam Selasa di kediaman suspek di Bandar Sunggala di sini.
Menurutnya, hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah manakala ujian saringan air kencing suspek adalah negatif.
“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson pagi tadi (kelmarin) bagi permohonan reman dan tahanan reman diluluskan selama enam hari sehingga 1 April ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Sementara itu, tinjauan ke Jabatan Perubatan Forensik HTJ mendapati saudara mara keluarga mangsa memenuhi pekarangan lokasi berkenaan sejak pagi.
Seorang saudara keluarga kanak-kanak perempuan berkenaan yang tidak mahu dikenali berkata, dia mengetahui kejadian berkenaan pada petang semalam sebelum berbuka puasa.
“Kejadian ini dimaklumkan melalui aplikasi WhatsApp. Kami pun tak pasti bagaimana kejadian ini berlaku dan masih terkejut.
Menurutnya, kanak-kanak berkenaan yang merupakan anak bongsu akan dikebumikan di Kajang, Selangor.

































