Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Kira-kira 18,000 pelajar Sabah di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di Semenanjung, Sarawak dan Labuan mendapat manfaat daripada peruntukan RM10 juta untuk bantuan subsidi tiket penerbangan secara one-off yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor kelmarin.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pemberian subsidi ini akan membantu para pelajar yang pulang ke kampung halaman untuk bertemu keluarga tersayang menjelang Aidilfitri.
“Saya menyambut baik pengumuman Ketua Menteri Sabah berkaitan subsidi tiket penerbangan yang berjumlah RM10 juta untuk semua pelajar Sabah yang menuntut di IPTA dan IPTS di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.
“Subsidi tiket penerbangan ini akan memberi manfaat kepada sekitar 18,000 pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nizam berkata, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM67.4 juta untuk Kumpulan Yayasan Sabah pada tahun ini bagi membantu anak-anak Sabah melanjutkan pelajaran di dalam atau luar negara.
Jumlah peruntukan ini meningkat sebanyak RM13.6 berbanding peruntukan tahun lepas, tambahnya.
“Pengumuman penting ini membuktikan Kerajaan Negeri GRS-PH Plus di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor serius dalam membantu dan meningkatkan pendidikan anak-anak Sabah.
“Hasrat Kerajaan Negeri selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya untuk memperkukuhkan pembangunan modal insan dan meningkatkan tahap pendidikan di Sabah.
“Semoga dengan usaha-usaha yang diambil Kerajaan Negeri ini akan meningkatkan semangat anak-anak Sabah untuk terus mengejar dan mencapai impian mereka,” katanya.
Kelmarin, Hajiji mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk bantuan subsidi tiket penerbangan kepada semua pelajar Sabah yang belajar di IPTA dan IPTS di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.
Beliau mengumumkan bantuan itu semasa lawatannya ke Pulau Pinang untuk Majlis Berbuka Puasa Bersama Mahasiswa Mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi di Semenanjung yang diadakan di George Town.
Katanya, bantuan khas one-off sebanyak RM600 seorang kepada pelajar Sabah itu adalah dana daripada peruntukan khas Ketua Menteri.
“Bantuan khas tiket penerbangan one-off itu akan diberi secara terus kepada pelajar berkenaan. Bagaimanapun, maklumat terperinci dan mekanisme pembayaran akan dibincangkan lebih lanjut oleh pihak-pihak berkenaan.
“Bantuan khas ini boleh digunakan pada bila-bila masa untuk pulang ke Sabah,” katanya.


































