Lokasi kejadian warga emas maut dihempap pagar dalam kejadian di Kawasan Perindustrian Tanah Merah, Kelantan-Ihsan Polis
TANAH MERAH: Seorang lelaki warga emas yang merupakan pemilik sebuah kilang dawai maut selepas dihempap pintu pagar kilangnya di Kawasan Perindustrian Tanah Merah, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa yang berusia 70 tahun maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, siasatan mendapati mangsa dihempap pagar berkenaan semasa sedang memeriksa dan menutup pintu pagar kedua kilangnya.
“Keadaan itu menyebabkan roda pada pagar tersebut terkeluar daripada rel sebelum ia terbalik dan menghempap seluruh badan mangsa.
“Mangsa yang juga tinggal di dalam kilang tersebut tersepit di bawah pagar telah disahkan meninggal dunia apabila pihak Hospital Tanah Merah tiba di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Haki memberitahu, siasatan mendapati, tiada sebarang perbuatan jenayah, sabotaj atau pergaduhan yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa.
Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian warga emas itu disebabkan oleh kecederaan parah pada bahagian kepala.


































