Andi Muhammad Suryady Bandy
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kalabakan mendakwa wujud kartel yang memonopoli tender-tender perkhidmatan kawalan keselamatan dan pembersihan di sekolah serta institusi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang melibatkan syarikat-syarikat yang berselindung di sebalik syarikat-syarikat proksi untuk mendaftar bagi mendapatkan tender tersebut.
Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, setelah berjaya mendapatkan kontrak-kontrak ini mereka kemudiannya bertindak meyimpangkannya dengan menyumberluarkan kontrak tersebut kepada subkontraktor yang berminat dengan kadar harga yang lebih tinggi dan mendapat keuntungan atas angin semata-mata.
“Kesannya, kos yang terpaksa ditanggung oleh subkontraktor ini dialihkan kepada pekerja dengan melakukan pelbagai kesalahan yang menindas pekerja-pekerja.
“Justeru itu, saya menggesa agar pihak Kementerian memberikan perhatian serius bagi membela nasib pekerja ini yang sememangnya berperanan penting di dalam menjaga keselamatan dan kebersihan terutamanya di sekolah-sekolah bagi memastikan anak-anak kita dapat belajar dengan selamat, aman dan kondusif,” katanya ketika membahas Perbekalan Tambahan (2023) 2024 peringkat jawatankuasa Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Sehubungan dengan itu, Andi mencadangkan agar pihak Kementerian menambah baik aspek penganugerahan tender dengan menyenarai hitamkan syarikat-syarikat yang terlibat dengan aktiviti subkontrak ini; menurunkan nilai sekuriti ataupun cagaran bagi menggalakkan lebih banyak syarikat-syarikat kecil untuk menyertai tender dan menghalang monopoli syarikat besar; mewajibkan syarikat yang mendapat kontrak ini untuk meletakkan wang jaminan kepada pihak kementerian untuk tempoh tiga bulan sebagai contohnya bagi membolehkan para pekerja menuntut gaji mereka kepada pihak kementerian sekiranya ada syarikat yang culas untuk melakukan pembayaran gaji kepada pekerja mereka; dan mewujudkan penaziran atau pemantau yang akan melakukan pemeriksaan secara berkala kepada para pekerja kawalan keselamatan dan kebersihan yang akan memeriksa kebajikan para pekerja ini dari aspek gaji dan sebagainya.
Terdahulu, beliau berkata, penambahan perbelanjaan berjumlah RM1,973,724,300 yang bertujuan untuk menampung bayaran kontrak kawalan keselamatan dan kebersihan di sekolah serta institusi di bawah Kementerian Pendidikan berikutan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum (PGM) menunjukkan pihak Kementerian cakna dengan permasalahan yang berlaku melibatkan para pekerja kawalan keselamatan dan kebersihan melibatkan institusi di bawah Kementerian.
Beliau melihat terdapat beberapa faktor yang perlu diberikan perhatian serius oleh pihak Kementerian terutamanya melibatkan syarikat-syarikat pengendali perkhidmatan konsesi kawalan keselamatan dan kebersihan ini yang dilihat tidak mematuhi peraturan-peraturan dan akta berkaitan pekerja seperti mana yang ditetapkan oleh perundangan sehingga menindas para pekerja sektor ini.
Katanya, antara perkara-perkara tersebut ialah terdapat syarikat yang masih lagi tidak mematuhi had gaji minimum RM1500 seperti mana yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan; dan kegagalan untuk mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso); pekerja hanya diberikan cuti dua kali sebulan, tanpa cuti sakit dan tidak diberikan cuti tahunan serta akan dipotong gaji sebanyak RM100 jika gagal hadir bekerja tanpa pemakluman awal.
“Kebanyakkan mereka masih lagi dibayar RM5 sejam dan bekerja 12 jam sehari dan mendapat purata gaji sehari hanya RM60. Bagimanakah mereka tergamak untuk mengenakan pemotongan gaji sebanyak RM100.
“Kesemua ini seolah-olah merupakan suatu bentuk perhambaan baharu dalam dunia serba moden ini. Keringat dan darah mereka dihirup sehingga kering hingga menjadikan para pekerja ini hidup dengan penuh penderitaan,” kata Andi.


































