Dr. Joachim (belakang, tengah) menyaksikan Gulam (enam dari kiri) bersalaman dengan Zhang Yun selepas menandatangani MoU.
KOTA KINABALU: Satu produk pelancongan dinamakan ‘Go To Lepa Banggi’ dilancarkan bagi menarik lebih ramai pelancong luar untuk berkunjung ke Kudat.
Produk tersebut dilancarkan oleh Yayasan Gulam Modal Insan (YGMI) yang turut menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat dari China, Liaoning Northern International Travel Service Company Limited pada acara yang diadakan di UTC Sembulan, di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam merasmikan pelancaran produk dan menyaksikan upacara menandatangani MoU itu.
Mengucapkan syabas dan tahniah kepada YGMI terutama Presidennya, Dato’ Seri Gulam Tumai atas inisiatif tersebut, Dr. Joachim berasa amat yakin usaha sama yang dijalinkan ini akan melonjakkan kedatangan pelancong asing khususnya warga China.

Dr. Joachim (belakang, tengah) menyaksikan Gulam (enam dari kiri) dan Zhang Yun mempamerkan MoU masing-masing.
Menurut beliau, industri pelancongan di Sabah adalah salah satu punca pendapatan yang boleh menjana ekonomi Sabah.
Di samping itu katanya, kebanjiran pelancong ke Sabah akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan dan seterusnya mengurangkan kadar pengangguran.
“Langkah usaha sama ini yang memfokuskan daerah Kudat yang kaya dengan keindahan laut terbuka dan pulau-pulau yang cantik secara alami sebagai destinasi pelancongan, adalah satu perancangan yang sangat tepat. Daerah Kudat juga kaya dengan budaya dan tradisi bagi etnik Rungus. Pesta Gong yang diadakan pada setiap tahun juga boleh dijadikan sebagai daya tarikan pelancong yang berkunjung ke Daerah Kudat.
“Dengan usaha seperti ini juga pelancong tidak hanya tertumpu kepada Semporna, Kundasang serta tempat-tempat pelancongan yang ada di negeri ini sahaja, malahan juga di daerah lain seperti Kudat,” katanya, sambil menambah Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan usaha seperti ini dan berharap lebih banyak lagi tempat-tempat menarik di negeri ini akan menjadi tumpuan pelancong darı dalam dan luar negara.
Dr. Joachim berharap, kedua-dua pihak iaitu Liaoning Northern International Travel Service Company Limited, China dan YGMI dapat merealisasikan usaha sama ini dengan jayanya.
Turut hadir ialah, Pengurus Kanan Pemasaran, Lembaga Pelancongan Sabah, Josephine Chai; Ahli Lembaga Liaoning Northen International Travel Service Company Limited, Zhang Yun dan Pengarah Perhubungan Pelancongan Antarabangsa YGMI, Ben Ting.






























