Kios layan diri di kedai McDonald’s di Blok 109, Toa Payoh Lorong 1 memaparkan mesej ralat pada 15 Mac lalu.
SINGAPURA: Gangguan sistem McDonald’s yang berleluasa pada hari Jumaat lalu mengganggu operasi di seluruh Asia, termasuk di Singapura, Jepun dan China menyebabkan rangkaian restoran itu tidak dapat menerima tempahan.
Malah, keadaan itu memaksa kakitangan menggunakan pen dan kertas untuk mengambil tempahan.
Menurut Utusan Malaysia, Jurucakap McDonald’s berkata, syarikat itu menyedari gangguan teknologi yang memberi kesan kepada restorannya dan isu itu sedang diselesaikan, sambil menambah bahawa gangguan itu tidak berkaitan dengan keselamatan siber.
Semasa pemeriksaan oleh CNA, kakitangan di cawangan Blok 109 Toa Payoh Lorong 1 berkata, mereka tidak dapat menerima pesanan di kaunter atau menerima pesanan dalam talian.
Kios juga memaparkan notis yang menyatakan bahawa ia tidak berfungsi.
Seorang pelanggan memberitahu CNA bahawa tempahannya ditolak oleh pekerja pada kira-kira 4.45 petang.
“Saya datang selepas kerja … tetapi kakitangan memberitahu saya mereka tidak menerima tempahan lagi, jadi, saya pergi membeli rojak India sebagai ganti,” kata lelaki berusia 59 tahun itu yang mahu dikenali sebagai Ng.
Seorang lagi pelanggan yang tiba pada pukul 5 petang ingin mendapatkan McFlurry tetapi melihat kedai tidak menerima tempahan.
Pengguna juga melaporkan bahawa tidak dapat membuat pesanan pada aplikasi rangkaian makanan segera itu.
“Kami sedang mengalami masalah dengan apl itu. Pesanan Mudah Alih, Tawaran dan Ganjaran tidak tersedia buat sementara waktu. Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku,” notis pada apl itu berbunyi.
CNA menghubungi McDonald’s Singapore untuk maklumat lanjut.
McDonald’s Jepun berkata, pihaknya menghentikan operasi di banyak kedai di seluruh negara kerana gangguan sistem dengan isu teknikal turut dilaporkan di Australia, China dan Hong Kong.
McDonald’s Jepun meminta maaf atas kesulitan tersebut dan meminta pelanggan menunggu seketika sehingga perkhidmatan dipulihkan.
Rangkaian makanan segera itu mempunyai hampir 3,000 kedai di seluruh Jepun, menurut laman webnya.
































