TUARAN: Parti komponen dan rakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu mempertimbangkan gambaran yang lebih besar dengan meletakkan hanya calon boleh menang pada pilihan raya negeri akan datang, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Hajiji yang merupakan Pengerusi GRS berkata, sekarang bukan masanya untuk melobi untuk mendapatkan kerusi.
“Lagipun, kita semua akan menggunakan satu simbol iaitu simbol GRS. Jadi ia bukan semua tentang kerusi tetapi apa yang kita mahukan ialah calon boleh menang.
“Saya berharap semua pemimpin kita menggunakan kebijaksanaan dalam meneruskan perjuangan untuk rakyat dan pembangunan negeri,” katanya pada majlis berbuka puasa Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama di Lok Batik, di sini, hari ini.

Hajiji berucap pada majlis berbuka puasa Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama di Lok Batik, Tuaran yang dihadiri 1,000 orang.
Beliau turut mengingatkan pemimpin Gagasan Rakyat di Sulaman agar meneruskan perjuangan dan kerjasama di peringkat akar umbi.
“Ini sangat penting memandangkan cabaran yang sedang kita hadapi,” katanya sambil mengulangi bahawa penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang akan tamat pada Oktober tahun depan.
Hajiji yang merupakan Presiden Gagasan Rakyat berkata, adalah penting pemimpin akar umbi turun padang dan mencari rakyat untuk mengetahui masalah mereka dan membawanya kepada perhatian pucuk pimpinan.
ADUN Sulaman itu berkata, pada masa ini terdapat lebih 200 cawangan di kawasannya menunjukkan sokongan rakyat terhadap Gagasan Rakyat kini semakin mendapat sambutan.
“Semua ini hanya boleh dicapai jika kita bersatu. Elakkan isu remeh dan peribadi dan sebaliknya lihat kepada gambaran yang lebih besar iaitu kita memerlukan kerajaan yang stabil,” katanya.

Hajiji dan anaknya Mohd. Danish mengunjungi Bazar Ramadan berhampiran CKS Kampung Selupoh.
Menurutnya, landskap politik masa kini semakin mencabar dan ada kalanya tidak masuk akal.
“Malah mereka (pembangkang) menyalahkan Hajiji (saya) dalam media sosial atas kemarau semasa yang melanda Sabah,” katanya.
Namun begitu, Hajiji berkata, semua pemimpin dan ahli parti perlu berpegang teguh kepada prinsip dan kebijaksanaan.
Beliau menggesa ahli parti untuk menjalankan tanggungjawab mereka dan mempertahankan parti daripada fitnah pembangkang.
Kemudian, Hajiji bersama lebih 1,000 pengundi Sulaman berbuka puasa di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama.

Hajiji dan anaknya Mohd. Danish mengunjungi Bazar Ramadan berhampiran CKS Kampung Selupoh.
Sebelum majlis berbuka puasa, Hajiji ditemani anaknya, Mohd. Danish mengunjungi Bazar Ramadan di CKS Kampung Selupoh di mana mereka membeli juadah berbuka puasa.
Selepas itu Hajiji mempengerusikan mesyuarat Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman di bilik mesyuarat Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama.
































