JASIN: Polis menahan seorang lelaki selepas suspek dipercayai memukul dan memijak tiga anak perempuannya selepas si isteri menolak untuk makan malam bersama dalam kejadian di Merlimau di sini, minggu lalu.
Susulan laporan dibuat isterinya pada 26 Februari 2024, suspek berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.40 pagi.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, sebelum insiden suspek dikatakan pulang ke rumah pada pukul 10 malam dan mengajak isterinya untuk makan malam bersama.
“Bagaimanapun, si isteri menolak pelawaan tersebut kerana suspek dipercayai berada dalam keadaan mabuk.
“Kemudian suspek naik berang dan memarahi dan menendang isterinya, sebelum wanita itu lari ke bilik tiga anak perempuannya berusia 12, 14 dan 16 tahun,” katanya kepada pemberita.
Tambah Ahmad Jamil, suspek didakwa turut melakukan aksi tidak senonoh sebelum bertindak ganas menampar salah seorang anaknya dan memijak kepala dua yang lain.
Jelasnya, suspek yang juga seorang penganggur kini direman dan akan dituduh di mahkamah pagi ini.
“Si isteri cuba menghalang tetapi tidak berjaya dan terus keluar ke rumah ibu mentuanya yang terletak berhampiran untuk mendapatkan bantuan.
“Kesemua mangsa dalam kes ini membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 15 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya.
































