KOTA KINABALU: Kegembiraan dua individu menaiki permainan ‘sotong ride’ di pesta ria atau ‘fun fair’ di Kompleks Sukan Likas bertukar menjadi tragedi apabila kedua mereka tercampak keluar semasa permainan itu sedang bergerak.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, seorang lelaki mengalami cedera parah manakala, seorang wanita mengalami cedera di kepala.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 8.58 malam dan sepasukan empat pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati terdapat dua mangsa cedera akibat terjatuh daripada permainan ‘sotong ride’ yang sedang bergerak.
“Seorang mangsa wanita berusia 29 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala manakala, seorang mangsa lelaki cedera parah dan berada dalam zon kritikal.
“Kedua-dua mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan dan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan seterusnya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth menggunakan ambulans dan jentera EMRS,” katanya.
Operasi tamat pada pukul 9.40 malam.
Polis telah mengarahkan agar fun fair tersebut ditutup selama tiga hari bagi membolehkan pemeriksaan teknikal dijalankan.


































