David Chan
KOTA KINABALU: Peniaga di Sabah diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga susulan kenaikan dua peratus cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang mula berkuat kuasa hari kelmarin.
Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah David Chan berkata, ini penting bagi memastikan kenaikan SST itu tidak membebankan orang ramai.
Beliau berkata, selepas wabak Covid-19, pihaknya menyedari pola pasaran barangan telah berubah kerana orang ramai mengalami kemerosotan kewangan.
“Orang ramai kini sangat selektif dalam membeli makanan dan produk yang lebih murah akibat kekangan kewangan,” katanya.
Oleh itu, David menggesa peniaga supaya bertimbang rasa dengan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga makanan dan produk pengguna secara tidak munasabah hanya kerana kenaikan 2% SST.
Tinjauan rambang di pekan Menggatal menunjukkan terdapat beberapa restoran yang menaikkan harga minuman Chinese teh kosong sehingga RM1.50 bermula kelmarin.
































