Steve menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya.
KOTA KINABALU: Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melalui Ketua Penerangannya, Steve Johnny Mositun telah membuat laporan polis terhadap seorang pengguna media sosial Facebook yang menggunakan nama Angelina Peace, kerana menggunakan imej Ketua Menteri dan membuat hantaran dengan niat menghina pemimpin tersebut.
“Dalam kita mempunyai hak menyuarakan pandangan, harus diingati bahawa setiap siaran dalam talian internet mempunyai had limit. Tidak kira apa saja siaran kita lakukan, sama ada tentang kepimpinan tidak kira aliran, jangan la kita melakukanya melebihi had sehingga menghina.
“Kita mempunyai Akta dan peraturan yang harus kita patuhi,” kata Steve sambil menambah, setiap perancangan dan kemajuan akan melalui fasa.
“Kita memahami jika ada ketidakpuasan hati daripada rakyat atau individu.
“Namun biarlah kita menjadi contoh dalam kematangan dalam membuat apa saja siaran dalam media social yang boleh menjadi viral,” katanya.
Steve berkata, orang Sabah terkenal dengan sikap toleransi yang tinggi, jadi biarlah ia menjadi contoh kepada semua dan tidak menjadi siaran toksik yang membawa perbalahan.
“Kesedaran tentang Seksyen atau Akta mengenai had seseorang dalam membuat siaran harus diberikan di peringkat sekolah atau melalui agensi yang berkaitan.
“Kita perlukan kritikan tetapi bukan melebihi peraturan yang sedia ada di Malaysia,” katanya.
































