Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din dilantik sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) yang baharu
PETALING JAYA: Seramai 45 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertukar dan dinaikkan pangkat berkuat kuasa 25 Mac ini.
Mendahului senarai ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din akan bertukar ke Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Deputi Komisioner Alzafny Ahmad berkata, jawatan beliau akan disandang Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin.
Menurut beliau, turut bertukar ialah Timbalan Pengarah (Pelucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan) JSJN Bukit Aman, Datuk Hamzah Ahmad dilantik sebagai Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) JKDNKA Bukit Aman dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).
“Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa akan memegang jawatan sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur dengan memangku pangkat Komisioner Polis,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Untuk rekod, pertukaran Kamarudin sebagai Pengarah JKDNKA adalah bagi menggantikan Datuk Seri Hazani Ghazali yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia Malaysia (MCBA) pada 31 Januari lalu.
Bagi pelantikan Rusdi sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur bagi menggantikan penyandangnya, Datuk Allaudeen Abd Majid yang bersara wajib pada 1 April ini.
Mengulas lanjut, Alzafny berkata, Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin pula bertukar ke Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang.
“Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad akan menyandang jawatan Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan JSJ Bukit Aman.
“Ketua Penolong Pengarah (D11) Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak JSJ Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan pdinaikkan pangkat ke Senior Komisioner (SAC) dengan mengekalkan jawatan sama.
“Selain itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa’aton Abu Bakar pula akan bertukar ke Ketua Jabatan Pengurusan Perak dengan memangku pangkat Asisten Komisioner,” jelasnya.
Dalam pada itu, senarai penuh pertukaran 45 pegawai kanan berkenaan boleh dilihat menerusi laman sosial Facebook rasmi PDRM.


































