Anggota penguat kuasa semasa melakukan serbuan ke atas sebuah premis menjual ayam di Jalan Pasir Hor, Kota Bharu, Kelantan.
KOTA BHARU: Taktik licik peniaga ayam yang menjual bahan mentah itu dengan harga murah, namun menipu timbangan terkongkar selepas diserbu anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan semalam.
Serbuan pukul 10.30 pagi di Jalan Pasir Hor di sini itu dilakukan bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) selepas perkara tersebut tular dilaman sosial sejak beberapa hari lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarahnya, Azman Ismail berkata, pemeriksaan yang dijalankan mendapati peniaga terbabit telah menggunakan alat timbang sukat elektronik yang tidak disahkan untuk tujuan perdagangan.
“Terdahulu sepasukan anggota telah membuat penyamaran sebagai pengguna dan mendapati timbangan awal daripada penjual tidak menepati serta meragukan kuantiti atau berat yang dijual.
“Oleh itu, kita dapati peniaga itu telah melanggar Akta Timbang dan Sukat 1972,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azman memberitahu, pada masa sama, MPKB-BRI turut mengambil tindakan undang-udangan ke atas peniaga tersebut di bawah bidang kuasa mereka.
Katanya, KPDN Kelantan menasihatkan pengguna agar supaya terus tampil membuat sebarang aduan khususnya melibatkan kenaikan harga barangan keperluan, jualan harga yang mengelirukan dan sebagainya mengikut saluran rasmi disediakan.


































