Andi (dua dari kanan) menerima cendera kenangan daripada wakil Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) Peringkat Perbandaran Tawau
TAWAU: Umat Islam diharap akan kembali menghayati dan mempertingkatkan usaha mereka berinteraksi dengan firman Allah.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan yang juga ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, membaca al-Quran, memahami dan merenung ke dalam diri.
“Insya- Allah, ia akan meledakkan suatu kesedaran dan keazaman yang melunakkan dan memberi keberkahan sepanjang kehidupan,” katanya ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) Peringkat Perbandaran Tawau Bagi Tahun 1445h/2024M di ruang legar Masjid Al Kauthar, di sini, hari ini.
Andi berkata, sumber utama bagi umat Islam adalah al-Quran.
“Ia merupakan wahyu yang lengkap dan terakhir kepada Baginda Rasulullah SAW bagi seluruh umat manusia di dunia, supaya tunduk dan akur kepada Tuhan yang Maha Esa. Al-Quran menganjur serta mendorong umat Islam agar menuntut ilmu, mempelajari, menganalisis dan menggunakan akal yang dikurniakan Allah SWT untuk dimanfaatkan.
“Sesungguhnya di dalam Islam itu sendiri telah terpancar kegemilangan. Sama ada kita sedar atau tidak, bimbingan Rabbani ke arah menjadi insan yang cemerlang sentiasa mengiringi setiap detik kehidupan kita.
“Ini merupakan suatu anugerah dan nikmat Allah Subhanahu Wataala yang amat jelas menunjukkan kepada kita bahawa agama Islam itu sendiri mampu mengangkat martabat manusia ke mercu kegemilangan sekiranya dihayati dan diamalkan secara bersungguh- sungguh,” ujar Ahli Parlimen Kalabakan itu.
Hakikatnya, kata Andi, bukan mudah untuk membina insan yang cemerlang yang sekaligus melahirkan ummah yang terbilang.
“Ia memerlukan perancangan yang rapi dan usaha yang gigih, berterusan dan tidak pernah jemu. Peringatan Rasulullah Sallallahu ’Alaihi Wasallam bermaksud: “Bahawa Allah mencintai seseorang yang apabila ia mengerjakan sesuatu kerja, ia laksanakan dengan tekun.” (Riwayat al-Baihaqi).
“Hadis ini menekankan supaya kita melakukan sesuatu pekerjaan dengan penuh ketekunan. Pesanan ini perlu dijadikan pegangan dan azimat supaya matlamat untuk melahirkan ’khaira ummah’ atau ummah terbilang dalam sebuah ’Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafurr’ (Negara yang maju dan mendapat keredhaan Allah) dapat direalisasikan.”
Mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) kali ini, beliau berharap segala usaha yang disumbangkan untuk memartabatkan al- Quran bagi melahirkan generasi dan negara rabbani yang mencintai al-Quran akan diterima sebagai amal soleh di sisi Allah SWT serta diberkati olehNya.
Semoga usaha ini dapat menjadi pemangkin mengimarah dan melebarkan risalah Islam di bumi tercinta ini, katanya.
“Sesungguhnya kemampuan dan kejayaan kita menganjurkan majlis ini secara tahunan membuktikan bahawa nikmat keamanan dan kemakmuran sentiasa dilimpahi oleh Allah Subhanahu Wata’ala kepada negara Malaysia.
“Ini adalah berkat kepimpinan negara yang berwawasan dan sentiasa mendaulatkan agama Islam sebagai agama rasmi negara,” ujarnya.






























