Dr. Dzulkifly Ahmad
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersedia mempertimbangkan ruang khas merokok seperti dicadangkan pelbagai pihak khususnya di premis makanan atau di tempat-tempat awam lain.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkifly Ahmad berkata, pihak KKM mendengar semua cadangan dan akan memastikan penyelesaian terbaik boleh dimuktamadkan kelak.
”Mungkin kita akan pertimbangkan untuk tunaikan ada ruang khas kepada perokok. Kita akan mengadakan libat urus bersama pemilik-pemilik premis dan penjaja,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Codex bagi Lemak dan Minyak (CCFO) Ke-28 di sini, kelmarin.
Menurut beliau, kementerian tidak terlalu rigid dengan sebarang peraturan yang diwujudkan dan akan mendengar cadangan atau keluhan semua pihak.
Terdahulu dilaporkan, KKM mempertimbang untuk memperkenal kawasan khas merokok berhampiran premis makanan bagi memudahkan kumpulan tersebut.
Mengambil contoh premis makanan sekitar Jalan Alor, Bukit Bintang, beliau sebelum ini berkata, penekanan diberi kepada keperluan untuk ruang merokok seperti dilakukan di Singapura dan Jepun.
Bagaimanapun, kata Dzulkifly, cadangan untuk mewujudkan kawasan khas merokok itu masih belum muktamad.
“Melihat sekitar Jalan Alor di Bukit Bintang itu, saya sendiri turut turun padang dan melihat sendiri kawasan tersebut, adalah hampir mustahil untuk kita laksanakan kawasan merokok tiga meter dari premis makanan,” ujarnya.


































