PETALING JAYA: Isteri kepada Tun Abdul Taib Mahmud sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Hospital Pakar Normah, Sarawak berhubung dakwaan dirinya membawa keluar bekas Yang di-Pertua Negeri (TYT).
Menurut Utusan Malaysia, Toh Puan Raghad Kurdi Taib berkata, laporan polis sudah dibuat bagi menyangkal dakwaan tersebut dan bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada siasatan pihak berkuasa.
Menurut beliau, laporan polis dibuat bagi melindungi privasi Abdul Taib dan haknya untuk memilih rawatan perubatan.
“Sebagai isteri dan penjaga Abdul Taib, saya meletakkan kesihatan serta kesejahteraan suami saya sebagai keutamaan dan melakukan tindakan yang akan menjejaskan pemulihannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, media melaporkan, laporan polis yang didakwa dibuat oleh seorang doktor hospital swasta itu tular di media sosial, semalam.
Dalam laporan itu, pengadu mendakwa Abdul Taib dibawa keluar dari hospital berkenaan oleh ahli keluarga beliau meskipun dinasihatkan oleh doktor agar beliau kekal menerima rawatan sewajarnya.
Bagaimanapun, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata kemudian mengesahkan Abdul Taib sedang menerima rawatan di kediamannya dan berada dalam keadaan baik.
Mengulas lanjut, Raghad Kurdi berkata, Dr Tan Sian Kong iaitu doktor yang bertanggungjawab terhadap Abdul Taib sudah diberitahu mengenai temu janji suaminya di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
“Dr. Tan membenarkan pelepasan Abdul Taib dan menganggap beliau boleh melakukan perjalanan tersebut. Malah, surat rujukan ke Hospital CVS Kuala Lumpur selanjutnya menyokong keabsahan pelepasan dan kemasukan yang dirancang.
“Keputusan untuk membawa pulang Abdul Taib juga adalah berdasarkan persetujuan yang dimaklumkan dan haknya untuk memilih penjagaan terbaik untuk suaminya. Semua dokumen pelepasan yang diperlukan mengikut prosedur hospital dan sudah ditandatangani serta semua kakitangan hospital berkaitan sedar tentang pelepasan tersebut,” jelasnya.
Dalam pada itu, Raghad Kurdi turut menepis dakwaan bahawa dirinya mencabut alat perubatan tanpa memaklumkan kepada kakitangan yang bertugas.
“Permintaan pertolongan untuk mencabut peranti perubatan tidak diendahkan oleh kakitangan hospital walaupun sudah berulang kali meminta bantuan,” katanya.


































