Andi (tengah) bergambar bersama peserta program
KOTA KINABALU: Para usahawan di negeri ini diharap dapat menguasai dan meneroka lebih banyak peluang dalam teknologi pendigitalan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus dunia perniagaan yang sedang berkembang pesat.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, gelombang digital terus memberi kesan kepada komuniti global dan telah mengubah gaya hidup kebanyakan masyarakat di seluruh dunia termasuklah mengubah corak ekonomi di dalam perniagaan di mana jual beli produk semakin laju berkembang pesat melalui pelbagai platform e-Dagang.
“Platform e-Dagang seperti TikTok Shop terbukti dapat merancakkan industri perdagangan dan membantu menaikkan ekonomi usahawan tempatan, terutamanya usahawan mikro, kecil dan sederhana dengan memasarkan produk mereka sehingga ke peringkat global,” katanya ketika merasmikan Program TikTok Shop Marketing Bootcamp 2024 di Perpustakaan Negeri Tanjung Aru, di sini, hari ini.
Program tersebut dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR), dengan kerjasama TikTok Shop Malaysia.
Andi berkata, TikTok Shop merupakan sebuah platform e-Dagang bagi jenama Perusahaan Kecil Sederhana (PKS), di mana pencipta kandungan dan usahawan TikTok dapat mempamer serta menjual produk melalui video, TikTok Live dan juga tab pameran.
“Kaedah ini sudah tentu membuatkan pembeli merasa lebih dekat dan proses jual beli menjadi lebih mudah dan pantas.
“Saya juga percaya setiap usahawan yang hadir kursus pada hari ini akan disediakan peluang dan ilmu untuk belajar mencipta kreativiti tersendiri dalam memasarkan produk melalui Shoppertainment.
“Usaha ini bagi memastikan mereka dapat membina nama produk masing-masing di TikTok Shop terutamanya dalam gelombang beli-belah baharu ini yang menyatukan perdagangan, kreativiti dan kandungan bagi menarik perhatian pembeli,” kata ADUN Tanjung Batu itu.
Meminta komitmen yang sepenuhnya daripada para usahawan agar ilmu yang dipelajari dapat digunakan untuk mengembangkan perniagaan dan jualan syarikat masing-masing, Andi berkata, Kementeriannya dan DIDR akan memantau perkembangan setiap peserta yang dipilih menyertai program tersebut.
“Semoga program ini dapat dijadikan titik tolak dalam usaha kita untuk memanfaatkan teknologi digital untuk mencapai ekonomi madani dan memberi peluang kepada usahawan kita untuk tumbuh serta terus berkembang sekaligus meningkatkan pendapatan,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kalabakan mengucapkan syabas dan tahniah kepada Bahagian Pembangunan IKS DIDR atas kejayaan menganjurkan Program Pendigitalan Usahawan tersebut bersama dengan TikTok Shop Malaysia selaku rakan strategik.
Beliau turut mengalu-alukan lebih banyak usaha dan penyertaan TikTok Shop Malaysia bersama agensi kerajaan negeri Sabah dalam memperkasakan usahawan Sabah yang berpotensi untuk ke peringkat global melalui platform TikTok Shop.






























