Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau lebih dikenali Cleopatra ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, kelmarin.
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Mohd. Zinin dan pempengaruh media sosial, Cleopatra tidak pernah berkahwin namun telah ‘muncul’ sijil nikah mereka yang telah dikeluarkan oleh negara jiran.
Enggan perkara itu merosakkan reputasi sesiapa, Cleopatra atau nama sebenarnya Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin, memohon pengesahan daripada Mahkamah Rendah Syariah di sini bahawa pernikahan tersebut tidak pernah berlaku.
Menurut Utusan Malaysia, Cleopatra, 30, yang juga bekas calon Pilihan Raya Umum ke-15 bagi Parlimen Batu berkata, beliau terkejut selepas menerima sijil nikah tersebut sedangkan tidak pernah ke Thailand.
“Saya berharap dapat selesaikan (isu) ini secepatnya. Saya cuba tidak mahu menjatuhkan reputasi sesiapa,” katanya ketika ditemui selepas prosiding kelmarin.
Perkara itu juga disahkan oleh peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili wanita itu.
Ujarnya, kes tersebut telah dirujuk terlebih dahulu ke Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) dan jabatan tersebut telah mengesahkan bahawa sijil berkenaan adalah palsu.
“Perkahwinan tidak pernah berlaku, anak guam saya tidak pernah ke Thailand dan pernikahan juga tidak pernah dibuat secara dalam talian atau Zoom. Bagaimana dokumen (sijil nikah) dari negara jiran (Thailand) dicetak yang mengatakan anak guam saya telah berkahwin dengan Mohd. Bakri,” katanya.
Pada prosiding kelmarin, Mohd. Bakri, 70, tidak hadir di mahkamah kerana mengalami masalah kesihatan dan diwakili peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan.
Fakhrul Azman ketika ditemui media turut mengesahkan bahawa anak guamnya tidak pernah bernikah dengan Cleopatra.
“Pihak kami juga telah meneliti segala permohonan itu dan boleh kami katakan pernikahan itu tidak wujud. Katanya pemohon (Cleopatra) hanya membuat satu permohonan iaitu pengesahan pernikahan,” kata peguam tersebut.
Hakim Syarie Wan Mohd. Najib Wan Hamat kemudian menetapkan 22 April ini bagi sebutan semula kes dan pada tarikh itu juga pihak-pihak diarahkan untuk berhujah berhubung permohonan tersebut.
Sekitar Oktober 2023, media melaporkan bahawa Cleopatra menafikan telah berkahwin dengan Mohd. Bakri sebaliknya menyatakan bahawa bekas pegawai tinggi polis itu merupakan pengerusi dalam salah sebuah syarikatnya.
Status kedua-dua individu itu menjadi persoalan apabila Cleopatra memuat naik gambar dirinya dan Mohd. Bakri di Instagram (IG) ketika mereka menghadiri konsert ‘Senandung Nusantara Ethnochestra oleh Erwin Gutawa dan Jay Subyakto’.
































