Keadaan kereta Tesla merempuh tembok di Taman Bukit Serdang.
PETALING JAYA: Seorang pemandu kereta Tesla berdepan detik cemas apabila merempuh tembok di Taman Bukit Serdang, dekat sini, awal pagi Ahad.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A.Anbalagan berkata, kemalangan pada pukul 12.30 malam itu berlaku membabitkan pemandu berusia 28 tahun selepas pemandu mendakwa tidak nampak tembok berkenaan.
Bagaimanapun, menurut beliau, pemandu kereta itu tidak cedera manakala kereta itu rosak di beberapa bahagian.
Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati pemandu tersebut tinggal di Johor dan datang ke Serdang untuk berjumpa dengan rakannya selain dikatakan tidak mahir dengan kawasan tersebut.
Jelas beliau, ketika kejadian, lelaki tersebut memandu sendiri dan tidak menggunakan telefon bimbit.
Terdahulu, tular di Facebook memparkan seorang lelaki memuat naik beberapa gambar dan video yang menunjukkan dinding batu-bata kelihatan ‘berlubang’.
Lelaki itu mendakwa pemandu Tesla berkenaan merupakan pelanggan dari sebuah restoran di Kuala Lumpur.
“Pelanggan itu datang dari restoran sebelum keretanya merempuh dinding batu-bata.
“Dia mendakwa jalan di situ terlalu gelap sehingga tidak melihat dinding di hadapan,” tulisnya.


































