Abdul Taib Mahmud
KUCHING: Polis Sarawak sedang menyiasat dakwaan bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dibawa keluar dari sebuah hospital swasta di sini.
Menurut Utusan Malaysia, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.
“Pihak polis kontinjen Sarawak telah mengesan satu posting tular membabitkan bekas TYT Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang dimuat naik di media sosial.
“Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan perkara ini dan tidak membuat sebarang spekulasi,” katanya dalam kenyataan di sini Ahad.
Sehubungan itu, Mancha memberi amaran agar tidak berkongsi atau membuat spekulasi mengenai perkara berkenaan kerana tindakan boleh diambil terhadap mereka yang menyebarkan maklumat palsu.
“Tindakan juga boleh diambil mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar,” tegas beliau.
Polis dikatakan menerima perkara itu daripada laporan dibuat oleh seorang doktor hospital swasta itu.


































