PATI yang berjaya ditangkap di sekitar Tapah dan Bidor dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah untuk ditahan semalam.
TAPAH: Polis mengesahkan setakat pukul 11 pagi tadi seramai 41 lelaki yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor telah berjaya ditangkap dalam operasi bersepadu sejak malam Khamis lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd. Naim Asmawi mengesahkan 41 tahanan itu berjaya ditahan setakat ini.
“Unit Peronda MPV IPD Tapah bertindak pantas ke Kampung Ampang, Kuala Woh pada pukul 8.40 malam semalam sebaik sahaja menerima maklumat orang awam.
“Dua tahanan lelaki etnik Rohingnya telah berjaya ditahan dalam operasi terbabit,” katanya dalam satu kenyataan media ringkas hari ini.
Jarak depot itu menuju ke Kampung Ampang kira-kira 20 kilometer yang memerlukan masa selama lima jam sekiranya berjalan kaki.
Media melaporkan, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memaklumkan setakat pukul 8 malam semalam pihak polis berjaya menahan 39 tahanan yang lolos tersebut.
Seramai 131 warga asing melarikan diri dari blok lelaki depot itu merangkumi 115 etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.
Bagaimanapun, seorang daripada tahanan berkenaan maut selepas dilanggar kenderaan ketika cuba melarikan diri.


































