Sesi lawatan melihat karya seni nukilan pelukis Brunei Darussalam.
KOTA KINABALU: Seni lukis mampu menjadi wadah mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Brunei.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata bidang seni lukis mampu menjadi penghubung antara kedua-dua negara.
“Hari ini kita bersama para pelukis daripada negara Brunei Darussalam dan saya ucapkan syabas dan tahniah buat Universiti Malaysia Sabah (UMS) kerana berjaya menjalinkan hubungan yang baik dalam bidang seni lukis dengan berbagai negara termasuk Brunei.
“Kita dapat menyaksikan pelbagai karya yang dihasilkan oleh tokoh pelukis dari Brunei yang menggambarkan nilai budaya, pemikiran, sejarah dan pelbagai nilai yang dipercikkan dalam Pameran Gurisan Subarang.
“Saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan dan menjadi wadah menjalin hubungan antara Malaysia dan Brunei khususnya negeri Sabah yang bersama di Kepulauan Borneo dalam bidang kesenian.
“Kita juga berharap program sebegini diadakan bukan sahaja dalam bidang seni lukis tetapi dalam bidang kaligrafi Islami dan kesenian yang lain,” ujar Arifin semasa ditemui media selepas merasmikan Majlis Soft Launch Pameran Gurisan Subarang di UMS.
Sebanyak 83 karya melibatkan 15 pelukis-pelukis tersohor daripada Negara Brunei Darussalam menyertai Pameran Gurisan Subarang bermula 15 Januari sehingga 8 Mac ini di Bilik Pameran Kaamatan dan Kalimaran, Galeri Azman Hashim UMS.
Turut hadir dalam majlis tersebut, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansur.




























